MENGHAYATI PENDERITAAN, MENYEMAI HARAPAN
PASIR MAS, KELANTAN, 5 Disember 2024 - Limpahan air Sungai Lubok Jong yang merubah landskap perkampungan berhampiran menjadi lautan telah menjadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lati sebagai tempat perlindungan bagi ratusan jiwa yang hampir kehilangan segalanya.
Kekeliruan terlihat pada wajah anak-anak kecil yang tidak mengerti perihal musibah ini, selain keriangan singkat ketika bermain air. Dalam masa yang sama, susuk tubuh warga emas yang termenung kesedihan mengenang hasil titik peluh bertahun-tahun musnah dibawa arus.
Namun, di sebalik air mata dan kesedihan ini, terserlah nilai-nilai kemanusiaan yang menyentuh hati. Seramai 38 sukarelawan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Misi Skuad Ihsan Madani Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) - Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) tampil membantu dengan bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah yang telah dijadikan PPS sejak 27 November lalu.
Senyuman yang terukir di wajah penghuni PPS mencerminkan rasa syukur kerana bantuan yang dihulurkan bukan hanya berupa makanan, tetapi juga sokongan tenaga membersihkan kawasan PPS yang turut terjejas teruk akibat banjir dengan paras air mencapai aras pinggang.
PPS SK Lati bukan sekadar tempat perlindungan sementara, ia kini menjadi simbol kekuatan komuniti dan perpaduan masyarakat dalam menghadapi ujian yang amat berat.
Teks: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 129