Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyeru warga Kampus Kesihatan mempertingkatkan amal ibadah, bersedekah serta mengikuti aktiviti-aktiviti kerohanian menjelang tibanya bulan Ramadan tidak lama lagi.
Abdul Rahman berkata demikian semasa melancarkan Tabung Ihya’ Ramadan 1444H/ 2023M peringkat Kampus Kesihatan di Masjid Mukim Kampus Kesihatan USM, hari ini.


Tabung tersebut bakal membiayai aktiviti-aktiviti sepanjang Ramadan, termasuk menyediakan juadah iftar kepada pelajar-pelajar serta ahli kariah yang kurang berkemampuan.


Naib Canselor turut menerima sumbangan berjumlah RM5,000 daripada Yang Berhormat Mulia Dato’ Hajah Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra dan Yayasan Raja Shamri juga berjumlah RM5,000 menerusi wakil masing-masing untuk Tabung Ihya' Ramadan.


Pada majlis yang sama, Naib Canselor juga menyampaikan replika cek sumbangan zakat berjumlah RM84,600 yang merupakan Bantuan Sara Hidup daripada Tabung Zakat Pusat Islam Kampus Kesihatan. Amaun tersebut bakal dimanfaatkan oleh 262 orang pelajar sepanjang semester 2, Sidang Akademik 2022/2023. Hadir menerima replika cek ialah wakil pelajar Tahun 2, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Ahmad Razin Razlan.
Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Dekan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Pemangku Dekan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis; Timbalan Pengarah Pusat Islam, Amira Abd Sattar@Ismail serta ketua-ketua jabatan.