PEMINDAHAN ILMU 3R KEPADA KOMUNITI: DARIPADA SISA HASILKAN PENDAPATAN DAN PENJIMATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Julai 2024 - Bagi mendidik golongan komuniti dan petani supaya dapat mempraktikan amalan ‘reduce’, ‘reuse’ dan ‘recycle’ (3R) melibatkan pengurusan sisa pepejal, satu program Komuniti Desa Alam Shah bertajuk ‘From Waste to Wealth’ telah diadakan pada 6 Julai lalu, di Desa Alam Shah, Pasir Puteh.
Program yang melibatkan 50 peserta terdiri daripada 14 keluarga asnaf seawal usia empat (4) hingga 65 tahun ini bertujuan meintegrasikan maklumat berkenaan kesedaran 3R dalam kalangan komuniti Desa Alam Shah selain mendidik mereka untuk mempraktikkan amalan 3R dalam pengurusan sisa bagi kesihatan sejagat.
Selain itu, ia juga bertujuan memberi pendedahan teknik asas pengkomposan sisa makanan dan mempraktikkan amalan pengurusan sisa makanan menjadi baja kompos untuk kegunaan tanaman oleh petani atau peladang.
Program yang dianjurkan oleh Unit Sains Kesihatan Interdisiplin, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan Sekretariat Sukarelawan USM - MySihat, Kampus Kesihatan ini mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Antara pengisian program tersebut termasuk ceramah kesedaran berhubung amalan 3R yang disampaikan oleh Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, PPSK USM, Dr. Faridah Naim, sesi perkongsian cerita bertajuk ‘Perangi Musuh Cilik Denggi’, aktiviti mewarna untuk kanak-kanak, bengkel pengkomposan sisa makanan, tayangan video, demonstrasi pengkomposan, pembuatan dan pertandingan mencari harta karun.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Penyelaras Unit Sains Kesihatan Interdisiplin, PPSK USM, Dr. Mujahid Bakar; Penyelia Desa Alam Shah yang juga wakil MAIK, Wan Muhd Isamuddin Wan Othman; Pensyarah Unit Sains Kesihatan Interdisiplin, PPSK selaku Penasihat Sekretariat Sukarelawan USM-MySihat, Kampus Kesihatan, USM, Dr. Rohani Ismail dan Pensyarah Unit Sains Kesihatan Interdisiplin yang juga Pengarah Program, Dr. Siti Marwanis Anua,
Sumber laporan & Foto: Dr. Siti Marwanis Anua
- Created on .
- Hits: 233