PEMINDAHAN ILMU DARI USM MELALUI PEMBUDAYAAN STEM DI SEKOLAH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 November 2024 – Sebagai usaha memperkenal konsep biokimia dan metabolisma kepada para pelajar melalui aktiviti berasaskan teknik gamifikasi termasuk permainan forensik menggunakan imej yang dihasilkan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), Unit Sains Asas, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok, Kelab Emak Ayah Cakna Anak Pintar (KECAP) dan Persatuan STEM Kebangsaan telah menganjurkan Program Saintis, Sekolah dan Pembelajaran STEM di SMKA Tok Bachok pada 13 November lalu.
Program yang disertai 70 orang pelajar tingkatan empat (4) dan lima (5) ini bertujuan menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berusaha meningkatkan kemahiran belia dan anak muda negara dalam aliran sains menerusi pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Seramai 12 orang ahli jawatankuasa dari USM yang terdiri daripada pensyarah, pegawai, pelajar pascasiswazah dan prasiswazah serta beberapa orang guru berganding bahu memastikan program ini berjalan dengan lancar.
Pelbagai pengisian dijalankan sepanjang program berlangsung seperti Eksplorasi Metabolisma melalui Aktiviti Sains Interaktif, teka silang kata bertajuk ‘Metabolisma Tubuh Manusia’ dan ‘Unsur Kimia dan Tubuh Badan’, ceramah bertajuk Biokimia dan Penciptaan Manusia, aktiviti mengenal pasti ‘Forensik DNA melalui Kaedah Gamifikasi dan AI’ serta banyak lagi.
Program ini diharap dapat meningkatkan minat para pelajar terhadap pendidikan STEM selain membuka minda mereka untuk meneroka ilmu sains yang pelbagai serta memahami kepentingan sains dalam kehidupan.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Norhayati Yusop
- Created on .
- Hits: 331