
PENGARAH KAMPUS SERU WARGA PPSK SELARAS PERANCANGAN IKUT PELAN TRANSFORMASI APEX
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Februari 2023 – Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin hari ini semasa Program Bersama Warga Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) menyeru semua peringkat warga kerja untuk menyelaras perancangan mengikut Pelan Strategi Transformasi APEX agar agenda APEX USM terus berada pada landasan yang betul dan mencapai matlamatnya.

Dalam perjumpaan itu juga, Shaharum memohon semua warga PPSK khususnya dan Kampus Kesihatan amnya untuk sentiasa bekerjasama antara satu sama lain agar dapat memberikan hasil yang memberangsangkan sebagaimana Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya (PTOKU) dan Program Madu Kelulut.

Kedua-dua program tersebut telah dijadikan contoh oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagaimana USM menterjemahkan ilmu kepada masyarakat untuk digunakan oleh orang ramai dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu, termasuklah usaha meningkatkan ekonomi serta tahap sosial rakyat.

Shaharum turut mengingatkan warga PPSK bahawa mereka juga terbuka untuk mengutarakan sebarang pandangan, cadangan serta penambahbaikan dalam merangka program yang memberikan impak kepada universiti dan komuniti.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Dekan PPSK, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi Dan Libatsama Industri - Komuniti), Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, Engku Nazli Engku Mohd Ariffin; Timbalan Pengarah Keselamatan, Eady Othman; Pegawai Undang-Undang, Wan Amier Firdaus Wan Mohd Azaman @ Mohd Azman serta pengerusi - pengerusi program PPSK.
- Created on .
- Hits: 180