USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Januari 2023 - Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) membuka tirai tahun baharu dengan Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor 2023 berkaitan kepakaran bidang Oftalmologi.
Hari ini, dua orang profesor dari Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) iaitu Profesor Dr. Hajah Shatriah Ismail berkongsi berkenaan 'Penyakit Mata Juling di Malaysia: Kaedah Rawatan dan Cabaran' manakala Profesor Datin Dr. Zunaina Embong mengetengahkan kepakaran beliau menerusi syarahan bertajuk 'Saringan Retinopati Diabetes: Ke Arah Aplikasi Teknologi Kepintaran Buatan'.
Profesor Dr. Hajah Shatriah Ismail dan Profesor Datin Dr. Zunaina Embong merupakan antara nama besar di pusat pengajian dan sangat giat menyumbang bakti untuk memastikan kelangsungan hal ehwal akademik di PPSP terus berkembang dengan pesat serta mampan.
Syarahan Umum Pelantikan Profesor adalah satu program akademik rasmi universiti khusus berkaitan pemasyhuran ketokohan seorang ahli akademik yang dilantik sebagai Profesor penuh.
Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor kali ini dimeriahkan dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan isteri Datin Roslina Ahmad Mohamed; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman, Pengurusan Tertinggi Kampus serta warga Kampus Kesihatan.