PPSG KONGSI KAEDAH INTEGRASI TERBAIK KESIHATAN PERGIGIAN PELAJAR PENDIDIKAN KHAS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Jun 2023 – Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan amalan penjagaan kesihatan mulut (penjagaan gigi, pemeriksaan berkala dengan doktor gigi yang bertauliah dan pendedahan awal tentang penyakit mulut selain gigi), pasukan pergigian Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) menyantuni murid-murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Lati, Pasir Mas pada 25 Mei lalu.
Program Pendidikan Kesihatan Komuniti Sekolah Pendidikan Khas Kelantan (PKSKPK) itu antara lain bertujuan memberi tunjuk ajar dan melatih wakil komuniti melalui aktiviti pemindahan ilmu agar ianya lebih efisien untuk meningkatkan kemahiran kendiri dan kelestarian dalam kalangan komuniti.
Selain itu, program yang mendapat kerjasama dari SKPK Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, Unit Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesan kesihatan mental dan fizikal terhadap kesihatan mulut di samping menghasilkan bahan pendidikan yang mudah difahami dan dipraktikkan oleh komuniti SKPK.
PKSKPK turut diisi dengan pelbagai aktiviti lain seperti pemeriksaan gigi, pemeriksaan berat badan dan tinggi, konsultasi diet, taklimat amalan penjagaan gigi, pameran kesihatan mulut dan latihan memberus gigi.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Noor Huda Ismail
- Created on .
- Hits: 288