PPSK DAN PPSP AMBIL INISIATIF PERKENAL PRODUK SEMULA JADI BERASASKAN MINYAK PATI UNTUK HASILKAN SABUN DAN WANGIAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Ogos 2024 - Dalam usaha memperkenalkan produk semula jadi yang berasaskan minyak pati bagi menghasilkan sabun dan wangian, Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan Unit Perubatan Integratif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), buat julung kalinya menganjurkan Bengkel Aplikasi Minyak Pati Semula Jadi Kebangsaan dalam Parfum dan Sabun, hari ini.
Bengkel yang diadakan di Bilik Tutorial A, PPSP USM itu bertujuan untuk berkongsi ilmu berhubung penggunaan minyak pati dalam parfum dan sabun termasuk kosmetik.
Lebih 20 perserta menyertai program tersebut yang bukan sahaja dikhususkan kepada staf USM, malah turut menarik minat golongan penyelidik luar, ahli akademik dan usahawan untuk mendapatkan pengetahuan dan berkongsi pengalaman bagi penghasilan produk terbabit.
Turut diadakan dalam bengkel tersebut ialah ceramah intelektual dan demonstrasi interaktif secara bersemuka yang memberi pengalaman kepada peserta mengenai pengunaan kaedah yang digunapakai dalam penghasilan produk menggunakan bahan semula jadi itu.
Antara kaedah yang digunakan ialah cara pengekstrakan stim bagi menghasikan minyak wangi untuk badan, kereta, bilik air dan pelbagai lagi. Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan cara penyediaan sabun buku, pencuci muka, sabun basuh pinggan dan sabun cuci tangan menggunakan minyak masak terpakai.
Hadir merasmikan bengkel tersebut ialah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Penglibatan Industri-Komuniti PPSK USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni. Turut hadir ialah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi PPSP, Profesor Madya Dr. Asrenee Abd Razak; Timbalan Dekan Pasca Siswazah, Kerjaya dan Antarabangsa PPSK, Profesor Madya Dr. Rapeah Suppian; Pengerusi Program Bioperubatan, PPSK, Profesor Madya Dr. Nurul Asma Abdullah dan Pengarah Bengkel Aplikasi Minyak Semula Jadi Kebangsaan dalam Parfum dan Sabun (BAMIkPS) 2024, Profesor Madya Dr. Mohd Dasuki Sul’ain.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 186