PROGRAM KESEDARAN KANSER: BERI TUMPUAN PENGESANAN AWAL PENYAKIT KANSER KEPADA WANITA DI KELANTAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 November 2023 –Bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan khususnya dalam pengesanan awal kanser dalam kalangan wanita di negeri Kelantan untuk mengurangkan kes kanser peringkat lanjut atau lewat, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan Program Kesedaran Kanser dalam Kalangan Wanita di Dewan Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, hari ini.
Program yang dihadiri hampir 400 peserta ini juga turut memberi pendedahan mengenai tanda dan gejala dalam pengesanan awal penyakit kanser payudara, kanser serviks dan kanser usus selain memperkenalkan kaedah penyiasatan, cara perawatan dan fasiliti yang ada untuk merawat penyakit kanser payudara, kanser serviks dan kanser usus.
Selain itu, ia juga bertujuan menjalankan saringan kesihatan asas dan juga saringan kesihatan khusus berkaitan pencegahan kanser iaitu kanser payudara melalui penilaian faktor risiko riwayat pesakit, pemeriksaaan klinikal payudara dan ‘ultrasound’ serta kanser serviks melalui ujian ‘Human Papillomavirus’ (HPV) ‘Genetic testing’ (DNA).
Pelbagai aktiviti diisi sepanjang program berlangsung antaranya penyerahan sijil penghargaan kepada jabatan dan unit, ceramah kesihatan kanser, perkhidmatan saringan asas kesihatan, pameran berkaitan kanser dan konsultasi perubatan.
Program kali ini agak istimewa kerana buat pertama kali ianya disantuni oleh Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis binti Al-Marhum Tengku Abdul Hamid dan Yang Berbahagia Che Puan Sofie Louise Johansson.
Sumber Laporan: Dr. Norhayati Mohamad
- Created on .
- Hits: 364