USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Jun 2023 – Program Khidmat Kesihatan Komuniti Hospital Universiti Universiti Sains Malaysia (USM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 3 (SMKKK3) pada 17 Jun lalu merupakan kesinambungan program komuniti oleh Hospital USM yang mendapat suntikan dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan mensasarkan golongan B40 kampung, B40 bandar serta golongan berkeperluan khas yang jauh atau sukar ke fasiliti kesihatan.


Program ini turut mendapat kerjasama Pasukan Libatsama Komuniti USM-Merican bagi memaksimumkan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Hampir 300 peserta terdiri daripada ibu bapa, penjaga, guru-guru dan pelajar SMKKK3 berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan asas, saringan kesihatan pergigian serta saringan penglihatan dan kesihatan mata secara percuma.


Hasil daripada program ini, seramai 14 orang telah dirujuk ke fasiliti kesihatan berdekatan untuk masalah darah tinggi, kencing manis, obesiti serta disyaki mengalami simptom penyakit tiroid. Selain itu, kira-kira 90 peserta didapati mengalami masalah rabun dan sembilan (9) pelajar kategori B40 telah dikenal pasti layak menerima kaca mata percuma sumbangan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).


Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu, Tg. Mohd Amran Tg.Yusoff dan Pengetua SMKKK3, Rozhan Ab. Rahim.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Norhayati Mohamad