KOTA BHARU, KELANTAN, 8 Ogos 2022 –Sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia, Hal Ehwal Wanita (HELWA), Pusat Islam Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu USM dan Malaysians Againts Pornografi telah menyantuni ahli Kelab Kebajikan Asnaf Negeri Kelantan untuk Projek Ibu Sihat.
Projek yang berlangsung pada 5 Ogos lalu itu merupakan tajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS).
Seramai 40 orang asnaf yang terdiri daripada ibu muda dan ibu mengandung hadir mendengar perkongsian ilmu oleh Pakar Perubatan USM. Projek ini dilaksanakan bagi memberi pemahaman kepada ibu - ibu berkaitan perancangan keluarga, kehamilan yang selamat dan penyusuan yang berjaya serta berkaitan pemakanan yang sihat bagi mengelak anak-anak mengalami kebantutan.
Projek Ibu Sihat ini akan disusuli dengan Projek Susu Ibu yang merupakan langkah pertama untuk membantu mencegah kebantutan anak-anak melalui penyusuan yang berjaya.
Selain itu, pengisian penjagaan kebersihan diri dan sentuhan selamat disediakan untuk 50 orang kanak-kanak yang hadir serta agihan sumbangan keperluan makanan sihat turut diberikan kepada golongan asnaf.
Sumbangan Laporan: HELWA Pusat Islam, Kampus Kesihatan USM