USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 September 2022 - Kempen memasyarakatkan kesihatan menjadi fokus utama Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS), pasukan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) terdiri daripada pakar-pakar Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) telah merentas Sungai Besar Kelantan ke kepulauan Tumpat untuk mendekati komuniti tersisih yang hanya boleh didekati melalui jalan air menggunakan perahu dan bot-bot kecil.

Projek Kesedaran Kesihatan Wanita telah dijalankan di Pulau Teluk Renjuna, Tumpat selama dua (2) hari pada 24 dan 25 Ogos lalu dengan pelbagai pengisian antaranya ceramah kesihatan, sesi perbincangan kesihatan bersama pakar O&G, pemeriksaan kesihatan asas, pemeriksaan payu dara, poster kesihatan dan saringan ujian pap smear.

Projek ini merupakan kerjasama antara USM dengan Persatuan Kesihatan Reproduktif Kelantan (ReHAK), organisasi sukarelawan NGO Prihatin @WeCareTumpat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat yang diwakili staf perubatan setempat dari Klinik Kesihatan Teluk Renjuna bertujuan meningkatkan pengetahuan penduduk pedalaman mengenai kepentingan dan penjagaan kesihatan wanita serta kaedah perancang keluarga.

Ini kerana kadar kesedaran merancang kehamilan dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah, apatah lagi golongan penduduk luar bandar. Kehamilan yang tidak terancang boleh membahayakan kesihatan dan fizikal ibu serta kandungan, peningkatan kos sara hidup, emosi ibu bapa tertekan serta menyebabkan hubungan suami isteri dan kekeluargaan terjejas.
Antara isu yang dibincangkan adalah seperti masalah haid yang tidak teratur, kaedah alat-alat merancang kehamilan yang sesuai dan senang didapati, nasihat mengenai pemakanan yang betul semasa mengandung dan pendarahan selepas putus haid (menopos).
Sumber Laporan: Dr. Engku Husna Engku Ismail, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM