PTOKU USM-MAIK KUKUHKAN HUBUNGAN MAHASISWA DAN OKU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN 22 Disember 2024 - Bagi mengukuhkan hubungan antara mahasiswa dengan komuniti orang kurang upaya (OKU), Pusat Transformasi OKU Universiti Sains Malaysia – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK) dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kubang Kerian telah menganjurkan program Program ‘We Stand for Disability: Care, Love and Support’ di sini pada 18 Disember lalu.
Program ini bertujuan melahirkan mahasiswa yang mempunyai gaya hidup sejahtera dan cakna terhadap keperluan golongan OKU selain memberi pendedahan terhadap 45 peserta yang terdiri daripada mahasiswa Sarjana Kerja Sosial, Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti OKU bagi memupuk sifat empati, toleransi, dan sikap prihatin.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi mencapai matlamat program termasuk sesi komunikasi interaktif, perkongsian pengalaman, dan aktiviti berbentuk latihan.
Selain itu, program ini turut memberi impak positif kepada hubungan antara universiti dan agensi luar serta meningkatkan kesedaran terhadap keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU selain memupuk semangat kerjasama dan empati dalam kalangan peserta.
Program ini juga menjadi platform untuk membina masyarakat yang lebih harmoni di samping menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman yang memberi penekanan kepada nilai-nilai murni, aksesibiliti dan pengurangan stigma terhadap golongan OKU.
Sumber Laporan & Foto: Siti Shaikhah Aziz
- Created on .
- Hits: 155