Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PTOKU USM–MAIK TERUS LATIH GOLONGAN OKU UNTUK LEBIH BERDIKARI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Januari 2024 – Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya Universiti Sains Malaysia - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Kampus Kesihatan USM terus giat membantu perkembangan golongan OKU di negeri Kelantan dengan menganjurkan Program Latihan Pekerjaan OKU melalui Projek Pertanian Bersepadu.

IMG 20240109 WA0055

IMG 20240109 WA0056

Program yang mendapat kerjasama Syarikat Enable OKU Solutions (ENOKU) ini adalah kesinambungan aktiviti yang bermula sejak tahun 2019 selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan meluluskan penggunaan tapak di Rumah Seri Kenangan (RSK) untuk dijadikan tempat latihan kemahiran pertanian bersepadu.

Seramai 24 orang peserta OKU dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) telah menjalani latihan kemahiran pertanian selama tiga (3) minggu sebagai usaha melatih mereka untuk berdikari dalam mencari pendapatan sendiri pada masa hadapan.

IMG 20240109 WA0057

IMG 20240109 WA0060

Selain itu, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada ahli keluarga pelatih OKU berkaitan potensi pelatih dalam bidang pekerjaan di samping memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat dan pihak luar terhadap kebolehan serta kemahiran pelatih OKU untuk berintegrasi dalam komuniti dan menyumbang tenaga bidang pekerjaan.

IMG 20240109 WA0059

IMG 20240109 WA0058

Hadir merasmikan majlis penutupan dan menyampaikan sijil tamat latihan kepada para peserta ialah Dekan PPSK, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak. Turut hadir dalam majlis yang berlangsung pada 4 Januari lalu di RSK Kemumin, Pengkalan Chepa ialah Ketua Pegawai Eksekutif ENOKU, Lily Azura Khairil Anuar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian OKU dan Warga Emas, JKM Kelantan, Anuar Che Mahmud dan Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

Sumber Laporan & Foto : Masliza Yazid

  • Created on .
  • Hits: 275