USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Ogos 2022 - Menyedari hakikat pentingnya melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum sesuatu perkara tidak diingini berlaku atau menjadi lebih teruk, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi turun padang menyantuni komuniti Ulu Bertam, Tanah Merah, semalam.


Membawa pendekatan 'rawat sebelum rebah' program anjuran Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am dengan kerjasama Unit Klinikal dan Unit Kerja Sosial, Hospital USM di bawah program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) ini telah memberi faedah kepada lebih 100 orang penduduk setempat.


Antara pengisian program yang dijalankan ialah pemeriksaan asas kesihatan, pemeriksaan kesihatan di rumah pesakit yang dikenalpasti, pameran kesihatan mengenai bahaya serta kesan merokok kepada jantung dan paru paru, penerangan tentang fungsi dan peranan Unit Kerja Sosial berkaitan kemudahan pembiayaan bagi mereka yang kurang berkemampuan ketika menerima rawatan di Hospital USM dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.