USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Ogos 2022 – Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Perubatan Pemulihan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) menerusi Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) dan Program Libatsama Komuniti USM – Merican telah menganjurkan program saringan multidisiplin penentuan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) bagi kanak-kanak sekolah rendah di daerah Kota Bharu dan daerah Pasir Mas pada 28 Julai lalu.

Program saringan yang berlangsung di Pusat Kegiatan Guru, Sekolah Kebangsaan Kota, Kota Bharu ini turut melibatkan kerjasama Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, PPD Pasir Mas dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Bharu.

Seramai 33 orang murid telah menjalani saringan yang dikelolakan oleh Pakar dan Pegawai Perubatan, Jurupulih Perubatan Carakerja, Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi), Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan), Psikologis Klinikal dan Pakar Oftalmologi.

Murid yang terlibat adalah mereka yang telah disahkan sebagai MBPK kemudiannya didaftarkan oleh JKM dalam pelbagai kategori seperti masalah pembelajaran, disleksia, ‘attention deficit hyperactivity disorder’ (ADHD), dan intelektual. Dalam saringan ini, sebahagian murid juga telah dirujuk ke Hospital USM untuk menjalani proses pemulihan dan rawatan susulan yang lebih lanjut.
Program ini turut disertai oleh Rosmadi Optometrist, Tune Hearing Care Centre, Audio Lab Kota Bharu dan Hearlife.