‘SCIENCE FOR SCHOOL’ 2024 PERKASAKAN MINAT PELAJAR DALAM BIDANG SAINS KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Ogos 2024 – Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) telah menganjurkan program ‘Science for School 2024’ buat kali ketujuh (7) bertemakan ‘Inspiring Future Health Scientists’, hari ini.
Program tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan, membuka perspektif serta membangunkan minat pelajar secara emoginasi dalam usaha memperkasa landskap pendidikan negara terutamanya penguasaan bidang sains kesihatan dan teknologi untuk jangka masa panjang yang akan memberi impak positif kepada generasi masa hadapan.
Program kali ini disertai oleh lebih 50 orang pelajar tingkatan 2 dan 3 serta guru sains dari 10 buah sekolah menengah terpilih di sekitar daerah Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Machang.
Program kali ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti sains interaktif untuk para pelajar meneroka sendiri bidang multidisiplin sains kesihatan melalui lima (5) modul aktiviti saintifik seperti ‘My Body-Inside Out’, ‘Heart for Health’, ‘Stem Cell-The Mother Cell of All Cells’, ‘Cracking the Code: ABO Blood Typing’ dan ‘Beat The Heat’.
Perasmian program ‘Science for School 2024’ telah disempurnakan oleh Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, JPNK, Mohd Hassany Hashim; Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Industri Komuniti Libatsama, PPSK USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed; Timbalan Dekan Pascasiswazah, Kerjaya dan Antarabangsa, PPSK USM, Profesor Madya Dr. Rapeah Suppian; Pengerusi Program Bioperubatan, PPSK yang juga Pengarah Program ‘Science for School 2024’, Profesor Madya Dr. Nurul Asma Abdullah serta pegawai dari JPNK dan Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Kelantan.
Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 466