SUKARELAWAN PELAJAR KAMPUS KESIHATAN USM SANTUNI KOMUNITI SETIU MELALUI PEMINDAHAN ILMU PENANAMAN POKOK GELAM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Disember 2023 - Universiti Sains Malaysia melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kesihatan telah berkolaborasi dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program Konservasi Hijau: Santuni Komuniti di Hutan Gelam, Kampung Mangkuk, Setiu, Terengganu pada 9 November lalu.
Program yang diadakan sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day) yang disambut pada setiap 5 Disember itu melibatkan 20 orang sukarelawan pelajar dan 12 staf dari Perkhidmatan Pergigian Bergerak, Hospital USM.
Program ini bertujuan menjadikan mahasiswa atau sukarelawan pelajar sebagai ejen pemindahan ilmu untuk membantu komuniti setempat melalui penanaman pokok gelam atau nama saintifiknya ‘melaleuca cajuputi’ selain membantu meningkatkan sumber pendapatan penduduk setempat melalui kaedah pengekstrakan pati minyak gelam.
Sepanjang program berlangsung turut disediakan perkhidmatan pemeriksaan gigi secara percuma di perkarangan Wetland School, Kampung Mangkuk bagi meningkatkan kesedaran penduduk tentang penjagaan kesihatan mulut dan gigi dengan betul.
Hadir merasmikan program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain. Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar, BHEPA Kampus Kesihatan USM, Hafiz Assad Zakaria dan Penolong Pendaftar, BHEPA Kampus Kesihatan USM (Unit Tajaan, Kebajikan dan Kesukarelawanan), Suha Eza Ibrahim.
- Created on .
- Hits: 295