USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Julai 2023 – Awal Muharam merupakan hari penting bagi umat Islam sempena peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Kota Madinah dan penghijrahan itu menjadi titik tolak kepada permulaan kalendar tahun baharu umat Islam.


Pusat Islam, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Akhir Tahun serta Awal Tahun Hijrah sempena menyambut kedatangan bulan Muharam 1445 Hijrah (H).
Majlis yang berlangsung di Masjid Mukim, Kampus Kesihatan USM bertujuan untuk memohon permulaan dan pengakhiran kehidupan yang baik serta kesejahteraan kepada seluruh warga Kampus Kesihatan USM.

Majlis turut diisi dengan ceramah Maal Hijrah yang bertajuk ‘Memakai Rabbani dalam Kehidupan’.


Selain itu, majlis tersebut turut diisi dengan penyerahan sumbangan kit Maidaturrahman kepada 30 orang penerima terdiri daripada asnaf dalam kalangan ahli kariah dan bantuan sara hidup RM300 kepada seramai 373 orang pelajar kategori B40 bagi semester kedua sidang akademik 2022/2023 yang disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.

Shaharum turut menyeru warga kampus untuk menggunakan peluang ini agar berhijrah menjadi individu yang lebih baik berbanding tahun terdahulu supaya mampu menyiapkan diri untuk masa depan yang tentunya lebih mencabar.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Ustazah Amira Abd Sattar @ Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kariah Kampus Kesihatan USM, Ustaz Mohd Khairuddin Jailani dan Penolong Pegawai Agama, Pejabat Agama Jajahan Machang, Ustaz Nik Mohd Nizam Mohd Nasir.