USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Disember 2022 – Pasukan dari Unit Rawatan Kebakaran Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah merangkul pingat emas dalam pertandingan ‘International Safety Media Award’ yang berlangsung sempena ‘14th World Conference on Injury Prevention and Safety Promotion’ di Adelaide Convention Centre, Australia pada 27 hingga 30 November lalu.


Di bawah bimbingan Pengarah Eksekutif ‘Safe Kids’ Malaysia, Profesor Dr. Kulanthayan A/l K.C. Mani, projek animasi yang diketuai oleh Pensyarah Perubatan Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar yang bertemakan ‘Bahaya Bermain Mercun’ ini telah diangkat sebagai juara peringkat antarabangsa bagi tahun 2022.


Video animasi berdurasi satu (1) minit 17 saat ini merupakan projek kempen kesedaran hasil kolaborasi URK Hospital USM bersama WAU Animation Sdn. Bhd. yang telah diterbitkan pada bulan Mei 2020 sebagai kempen kesihatan digital pertama URK semasa fasa pandemik.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar