USM DEKATI KOMUNITI BERI KESEDARAN BERKAITAN ANTIBIOTIK DAN UBATAN TIDAK BERDAFTAR
BACHOK, KELANTAN, 27 Ogos 2022 - Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) terus diperkasakan melalui Unit Sains Asas dan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan mendekati komuniti dalam usaha memberi Kesedaran Penggunaan Antibiotik dengan Betul, Perangi Ubat Tidak Berdaftar dan Kempen Satu Rumah Satu COVID-19 'First Aid' yang berlangsung di Kompleks Masjid Daruttarbiyah, Tawang, Bachok, hari ini.

Program dengan kerjasama Jabatan Farmasi Hospital USM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) diadakan bertujuan untuk memberi maklumat berkenaan penyakit bawaan mikroorganisma dan cara penggunaan antibiotik yang betul serta bahaya penyalahgunaan antibiotik.

Selain itu, USM turut memberi pendedahan dan garis panduan menghadapi jangkitan COVID-19 tahap satu (1) dan dua (2) di rumah dan menyediakan contoh asas ubat-ubatan tanpa preskripsi melalui kempen Satu Rumah Satu COVID-19 'First Aid' dengan harapan usaha ini dapat membantu komuniti setempat.


Antara pengisian bermanfaat dalam program ini adalah ceramah berkaitan penyakit bawaan mikroorganisma dan cara penggunaan antibiotik selain turut diselitkan acara cabutan bertuah.

Program ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Dato' Haji Hassan Mahamood dan turut hadir sebagai tetamu khas adalah Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Ketua Penolong Jajahan Bachok, Zulkarnean Isa; Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri - Komuniti PPSG, Profesor Madya Dr. Suharni Mohamad dan Pengarah Program, Dr. Wan Nazatul Shima Shahidan.
- Created on .
- Hits: 148