USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Februari 2023 – Pasukan boling Universiti Sains Malaysia (USM) menjuarai Kejohanan Boling Erat Silaturrahim sempena ulang tahun Pertahanan Awam ke-71 anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan Anggota Sukarela Pasukan Pertahanan Awam Kota Bharu, semalam.

Pasukan USM yang diwakili enam (6) peserta terdiri daripada Pegawai Bersekutu Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) USM bukan sahaja dinobatkan sebagai juara kumpulan tetapi turut menggondol gelaran ‘Raja Boling’ yang dimenangi oleh Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Hafiz Assad Zakaria.

Kejohanan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam USM dengan Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu di samping memeriahkan lagi sambutan ulang tahun tersebut.

Pemain yang turut membarisi pasukan USM ialah Timbalan Komandan Kor SISPA USM Kampus Kesihatan yang juga Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Kapten Bersekutu (PA) Khairul Ithma Mahdi; Kapten Bersekutu (PA) Mohd Norzulhairie Othman; Pegawai Undang-undang Hospital USM, Wan Amier Firdaus Wan Mohd Azaman dan Arkitek Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, Kampus Kesihatan USM, Ahmad Syahmir Mansor.
Sumber Laporan & Foto : Khairul Ithma Mahdi