KOTA BHARU, KELANTAN, 4 Ogos 2022 - Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan telah dijemput menyertai kayuhan patriotik sempena Program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2022 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Seramai 10 orang peserta berbasikal daripada USM bersama-sama peserta organisasi lain mengayuh basikal sejauh 6.5 kilometer di sekitar Kota Bharu dan pelepasan konvoi telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV.

Turut hadir sebagai jemputan kenamaan dalam pelancaran ini ialah Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman dan semua ketua jabatan di peringkat negeri serta persekutuan bagi negeri Kelantan.