USM, KUBANG KERIAN, 1 Julai 2023 – Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, warga Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) tidak ketinggalan menyempurnakan ibadah korban yang merupakan satu amalan keagamaan yang penting dalam Islam.
Program Ibadah Korban Peringkat Kampus Kesihatan anjuran Pusat Islam ini dilaksanakan secara bergotong-royong oleh hampir 60 orang warga kampus bersama komuniti sekitar.

Semangat kerjasama dan kesukarelawan ini telah lama dipupuk dan diteruskan pada setiap kali sambutan ibadah korban bagi mengeratkan silaturrahim antara kakitangan dari pelbagai jabatan bersama penduduk sekitar.
Selain itu, ia juga dapat memupuk sikap suka berkongsi dan bersedekah dalam kalangan warga Kampus Kesihatan.
Pada tahun ini sebanyak lapan (8) ekor lembu dan empat (4) ekor kambing disembelih hasil sumbangan 60 penyumbang yang mengambil bahagian dalam ibadah korban.
Program yang bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari melibatkan aktiviti sembelihan, melapah dan agihan daging korban yang siap dibungkus kepada komuniti sekitar, asnaf dalam kalangan staf, pekerja kontrak pencucian dan pelajar antarabangsa.


Program yang berlangsung di perkarangan Masjid Mukim Kampus Kesihatan ini telah dirasmikan oleh Penyelaras Unit Sains Kesihatan Interdisiplin, Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Dr. Mujahid Bakar mewakili Pengarah Kampus.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Ustazah Amira Abd Sattar @ Ismail dan Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus kesihatan, Hafiz Assad Zakaria.