AIR BERSIH UNTUK KESIHATAN, KENALI PUNCA DAN SOLUSI ATASI PENCEMARAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Ogos 2023 - Pencemaran air merujuk kepada keadaan di mana air tercemar oleh bahan-bahan berbahaya seperti zat-zat kimia, fizikal atau biologi yang boleh merosakkan kualiti air dan mengancam hidupan akuatik serta manusia.
Punca utama pencemaran air adalah daripada pembuangan sisa industri dan rumah tangga, penggunaan baja dan racun perosak berlebihan dalam pertanian serta pencemaran akibat aktiviti perlombongan dan kapal-kapal di laut.
Impak jangka panjang pencemaran air adalah seperti penularan penyakit diare, infeksi kulit, keracunan akibat paparan bahan kimia berbahaya, kematian hidupan akuatik dan gangguan pada rantai makanan dalam ekosistem.
Menurut Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Dr. Nur Fatien Muhamad Salleh, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran berpunca dari rumah.
“Gunakan sistem pengurusan sisa rumah yang baik seperti tangki septik dan amalkan penggunaan produk pembersih yang mesra alam bagi mengurangkan kesan negatif terhadap kualiti air.
“Kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap pengurusan sisa dengan betul perlu ditingkatkan selain tindakan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang melakukan kesalahan membuang sisa sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Nur Fatien, aktiviti pertanian turut menyumbang kepada pencemaran air apabila aliran bahan kimia dari tanah pertanian mengalir ke sumber air.
"Hal ini boleh diatasi melalui beberapa langkah iaitu memastikan teknik yang betul semasa menggunakan baja dan racun perosak serta amalkan sistem pengurusan air hujan seperti kolam tahan air atau rawatan air hujan.
“Selain itu, amalkan tanaman penutup tanah untuk mengurangkan hakisan tanah selain memberi pendidikan dan latihan kepada petani mengenai amalan pertanian yang lestari,” katanya lagi.
Nur Fatien berkata, penggunaan teknologi juga mampu membantu mengatasi pencemaran air.
“Penggunaan Teknologi Rawatan Air Sisa yang canggih mampu membersihkan sisa sebelum dibuang selain penggunaan sensor dan teknologi pengesan untuk mengenal pasti dan mengesan punca pencemaran air dengan kadar yang lebih cepat.
“Teknologi pertanian lestari seperti penggunaan sistem penyiram titisan dan baja organik juga mampu mengurangkan aliran bahan kimia berbahaya ke dalam sumber air.
“Selain itu, penggunaan teknologi mesra alam seperti panel suria dan kenderaan elektrik turut mengurangkan kesan negatif terhadap kualiti air,” ujarnya.
Nur Fatien menegaskan bahawa sangat penting bagi pihak berkuasa melaksanakan tindakan pengawasan dan penguatkuasaan untuk menghalang pembuangan sisa secara tidak teratur yang menyebabkan pencemaran air.
"Perkara ini amat penting bagi menjaga kualiti air, kesihatan manusia dan memastikan kelestarian sumber air untuk generasi masa depan," ulasnya lanjut.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 1306