Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

AWASI KOLESTROL DALAM MAKANAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Februari 2022 – Kolesterol adalah sejenis lemak (lipid) yang secara umum boleh dibahagikan kepada empat (4) jenis iaitu asid lemak, gliserida, fosfolipid dan sterol. Kolesterol adalah lemak daripada jenis sterol. 

SAVE 20220220 134442
 
Menurut Pensyarah Kanan, Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Wan Nudri Wan Daud, kolesterol juga memainkan peranan besar dalam pembentukan sel-sel tubuh yang sihat bagi membina membran sel atau tisu tubuh, membina vitamin D, membentuk hormon testosteron dan estrogen serta asid hempedu yang membantu proses pencernaan dan penyerapan lemak dalam tubuh. 
 
“Kolesterol dalam tubuh manusia terdiri daripada dua sumber iaitu sumber makanan (lebih kurang 20 hingga 30 peratus daripada jumlah kolesterol) dan melalui sumber yang dihasilkan sendiri dalam tubuh oleh organ hati (lebih kurang 70 hingga 80 peratus).  
 
“Badan tidak memerlukan kolesterol daripada sumber makanan kerana organ hati boleh menghasilkan kolesterol sendiri menggunakan bahan daripada lemak, protein dan karbohidrat.   
 
“Pengambilan makanan tinggi kolesterol yang banyak boleh meningkatkan kolesterol dalam darah. Kolesterol yang tinggi akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutama penyakit jantung dan angin ahmar (strok),” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat Radio Kelantan FM, baru-baru ini. 
 
Wan Nudri berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun 2019 mendapati masalah kolesterol darah tinggi (hiperkolesterolemia) dalam kalangan orang dewasa di Malaysia ialah seramai 38.1 peratus bersamaan dengan 38 orang bagi setiap 100 orang. 
 
“Masalah kolesterol darah tinggi menunjukkan trend peningkatan dan adalah penting untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat serta menghadkan pengambilan kolesterol dalam makanan harian 
 
“Kolesterol banyak terdapat dalam makanan berasaskan haiwan terutamanya daging berlemak, kulit ayam, organ dalaman dan makanan segera. Sekiranya ia berada pada paras tinggi dan tidak terkawal, ia boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan,” ujarnya lagi. 
 
Tambah Wan Nudri, terdapat dua pengangkut kolesterol yang utama dalam tubuh manusia iaitu ‘Low Density Lipoprotein’ (LDL) yang dikenali sebagai kolesterol jahat serta berperanan mengangkut kolesterol dari hati ke dalam salur darah dan sel manakala High-Density Lipoprotein’ (HDL) pula merupakan kolesterol baik yang mengangkut kolesterol dari salur darah dan sel ke organ hati serta disingkir keluar daripada badan. 
 
“Orang ramai dinasihatkan agar menghadkan makanan yang tinggi lemak tepu dan lemak trans dengan mengubah cara pemakanan dan diet untuk mencegah daripada menghidap kolesterol darah tinggi. 
 
“Tingkatkan pengambilan fiber/serat dan vitamin antioksidan dengan makan banyak sayur, buah-buahan dan juga kekacang untuk elak makan secara berlebihan kerana pengambilan lemak, protein, dan karbohidrat yang berlebihan, boleh ditukar kepada kolesterol,” jelasnya. 
 
Beliau berkata, selain daripada menjaga pemakanan terdapat beberapa tips lain untuk mengawal kolesterol dalam darah iaitu dengan menurunkan berat badan, mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman, berhenti daripada tabiat merokok, mengawal gula dan mengawal tekanan (stress). 
 
“Setiap individu dinasihatkan membuat ujian profail lipid atau ujian kolesterol darah secara berkala iaitu sekali setiap empat hingga enam bulan sekali.  
 
“Secara kesimpulannya, aras kolesterol darah boleh dicegah atau dikawal dan ianya penting sebelum pelbagai penyakit kronik muncul atau menjadi parah,” katanya. 
  • Created on .
  • Hits: 236