BARIATRIK SURGERI: KOSMETIK ATAU RAWATAN?
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Disember 2024 - Pembedahan bariatrik adalah pembedahan yang dilakukan untuk menurunkan berat badan bagi pesakit obesiti.
Obesiti pada kebiasaannya berkait rapat dengan penyakit-penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, hati berlemak, tidur berdengkur dan lain-lain lagi.
Ekoran daripada itu, pembedahan bariatrik dilakukan secara laparoskopik kerana ianya dapat memberi pemulihan dengan cepat selepas pembedahan dan juga memberi penurunan berat badan yang optimum kepada pesakit.
Pakar Bedah Bariatrik dan Metabolik Surgeri, Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Nizam Md Hashim berkata, pembedahan bariatrik adalah pembedahan yang dilakukan untuk membantu mengurangkan berat badan secara optimal dan pembedahan ini dilakukan secara laparoskopik.
“Terdapat beberapa kriteria untuk pesakit yang perlu melakukan pembedahan bariatrik dan salah satunya adalah pesakit yang mempunyai 'body mass index' (BMI) lebih daripada 35 (morbid obesity) layak untuk menjalani pembedahan bariatrik.
“Pesakit yang mempunyai penyakit metabolik seperti kencing manis, kolesterol tinggi dan mengalami masalah hormon juga termasuk dalam kriteria untuk pembedahan bariatrik.
"Selain itu, pesakit yang mengalami masalah tidur berdengkur (obstructive sleep), sakit lutut disebabkan oleh obesiti, masalah ketidakseimbangan hormon, hati berlemak dan lain-lain juga antara golongan yang dikenal pasti boleh melakukan pembedahan tersebut," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Mohd Nizam, golongan obes yang telah mencuba kaedah-kaedah lain untuk menurunkan berat badan tetapi gagal juga boleh menjalani kaedah ini.
"Antara kebaikan dan manfaat melakukan pembedahan bariatrik adalah dapat menurunkan berat badan serta mendapat berat yang ideal.
“Melalui pembedahan bariatrik ini, ia dapat menurunkan berat badan secara optimal sekaligus menghindari penyakit-penyakit yang kronik,” ujarnya lagi.
Mohd Nizam berkata, banyak kajian dilakukan di luar dan juga di dalam negara menunjukkan pembedahan bariatrik dapat mengubati penyakit kencing manis, penyakit saluran pernafasan (OSA), darah tinggi, kolesterol tinggi dan juga masalah hormon.
“Pembedahan bariatrik ini juga boleh dikategorikan kepada dua (2) jenis pembedahan dan ia dilakukan secara meluas melalui kaedah 'Sleeve Gastrectomy' dan 'Roux-en-Y Gastric Bypass'.
“Kedua-dua jenis pembedahan ini adalah berbeza, tetapi hasil pada akhirnya tetap sama iaitu penurunan berat badan yang optimal," jelasnya lagi.
Beliau berkata, walaupun ia merupakan pembedahan untuk penurunan berat badan, harus diingatkan bahawa dalam setiap pembedahan itu mempunyai risiko yang tersendiri terutama sekali untuk pesakit yang mengalami obesiti.
“Sebelum pembedahan bariatrik dijalankan, pesakit akan dinilai dan diperiksa oleh doktor pakar bagi memastikan tahap kesihatan pesakit adalah optimum sebelum menjalani pembedahan dengan selamat.
“Diet adalah pilihan yang paling selamat, namun keputusan untuk mendapatkan penurun berat optimum agak lambat dan membuatkan pesakit menjadi bosan serta tersasar daripada landasan,” katanya.
Jelas Mohd Nizam, cabaran utama yang perlu ditempuhi oleh pesakit selepas menjalani pembedahan bariatrik adalah pola pemakanan seharian.
“Selepas menjalani pembedahan, pola pemakanan pesakit akan berubah dan pesakit perlu mengikuti kaedah pemakanan yang betul untuk mengelak berlakunya sebarang komplikasi," ujarnya.
Menurutnya lagi, selain daripada pembedahan bariatrik, menelan belon mampu membantu pesakit obesiti menurunkan berat badan.
“Penggunaan belon memerlukan pesakit menelan belon dan belon tersebut akan dikembangkan di dalam perut. Namun, kos untuk kaedah penggunaan belon adalah tinggi dan ianya bersifat sementara," ulasnya.
Kepakaran pembedahan bariatrik mula dilakukan pada tahun 2017 di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan hanya HPUSM sahaja yang menawarkan pembedahan ini di Pantai Timur.
"Setakat ini HPUSM telah melakukan 150 kes pembedahan bariatrik.
"Pesakit yang berminat untuk melakukan pembedahan ini boleh mendapatkan janji temu dengan membawa surat rujukan daripada mana-mana hospital, klinik kesihatan atau klinik berbayar dan datang ke Klinik Pesakit Luar Pembedahan (SOPD) HPUSM pada setiap pagi hari Ahad untuk mendapatkan tarikh janji temu pakar.
“Ketika janji temu bersama pakar, penerangan secara terperinci akan diberikan mengenai persediaan sebelum dan selepas pembedahan termasuk kos pembedahan sekitar RM7,200 sehingga RM8,500 bagi setiap pesakit," terangnya lagi.
Bagi penjawat awam, mereka boleh menggunakan surat pengesahan diri dan pengakuan pegawai atau 'guarantee letter' (GL) untuk tanggungan rawatan.
"Bagi mendapatkan penurunan berat badan secara optimum, pembedahan bariatrik merupakan solusi terbaik," ujarnya mengakhiri temu bual.
Teks: Rosalwani Che Soh /Reka Grafik: Mohd Zaini Baharom
- Created on .
- Hits: 108