USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Januari 2023 – Penyakit Gout adalah penyakit sendi yang tertua dalam sejarah peradaban manusia yang dahulunya digelar sebagai ‘penyakit orang kaya’, namun kini keadaan telah berubah dan hampir semua orang berpotensi menghidapinya.
Menurut Pakar yang juga Pensyarah Ortopedik, Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Muhamad Aizat Mohamed Saat, penyakit gout berpunca daripada pembentukan ‘Monosodium Urate (MSU) Crystal’ pada bahagian badan pesakit seperti sendi, kulit, saluran pundi kencing dan ginjal.

“MSU terbentuk daripada asid urik yang berlebihan apabila badan mencerna makanan atau ubat – ubatan yang mengandungi purin.
“Gejala penyakit gout adalah seperti rasa sakit dan bengkak di bahagian sendi badan terutama di bahagian ibu jari kaki dan sendi lutut. Selain itu, ia juga bermanifestasi di bahagian kulit pesakit yang menjadi bengkak bersama benjolan - benjolan kecil kekuningan yang dipanggil ‘Tophi’,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM, di sini.
Muhamad Aizat berkata, sakit batu karang juga berkait rapat sebagai gejala gout apabila terdapat deposit kristal yang berkumpul pada bahagian yang tidak dapat dilihat contohnya ginjal dan hal ini sebenarnya adalah ‘silent killer’.
“Walau bagaimanapun, terdapat juga kes di mana pesakit gout tidak mengalami sebarang gejala dan dikategorikan sebagai ‘Asymptomatic Hyperuricaemia’ yang hanya dapat dikesan apabila pesakit melakukan ujian darah.
“Pesakit ini biasanya akan diberi rawatan susulan untuk mengelak serangan gout ke atas organ badan yang lain.
“Selain itu, mereka yang mempunyai masalah obesiti dan mengamalkan gaya pemakanan yang tidak sihat juga sangat berisiko untuk menghidapi gout,” ujarnya lagi.
Tambah Muhamad Aizat, berdasarkan hasil kajian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), genetik juga turut menjadi faktor risiko gout di mana kaum Melayu dan Iban memiliki genetik berisiko tinggi untuk menghidapi gout terutamanya lelaki.
“Ramai yang menyangka makanan laut adalah punca utama gout. Namun begitu, pengambilan minuman beralkohol dan minuman ringan yang mengandungi fruktosa juga antara punca utama gout kerana mempunyai purin yang tinggi.
“Daging merah, sayuran yang mengandungi purin, ubat-ubatan seperti ubat darah tinggi juga boleh menjadi penyumbang penyakit gout,” katanya.
Jelas beliau lagi, gout menjadi lebih bahaya apabila MSU berkumpul pada bahagian yang tidak sepatutnya seperti di bahagian ginjal yang boleh menyebabkan komplikasi buah pinggang dan di bahagian saraf tunjang yang boleh mengakibatkan lumpuh.
“Masalah komplikasi gout sering terjadi apabila kebanyakan pesakit sangat sinonim dengan beberapa mitos rawatan gout.
“Pertama, pesakit sering menunda rawatan dan tidak berminat untuk mengambil ubat serta hanya menunggu bengkak atau sakit itu hilang sendiri yang menyebabkan inflamasi menjadi semakin teruk.
“Kedua, segelintir pesakit yang sedang menjalani rawatan dengan preskripsi ubat berhenti mengambil ubat-ubatan yang diberi menyebabkan inflamasi berganda ketika serangan akut dan yang ketiga, pesakit gout hanya cenderung mengelak makanan berasid urik tinggi tanpa mengetahui makanan yang mengandungi purin yang tinggi juga perlu dielakkan,” ulasnya lanjut.
Muhamad Aizat turut menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak memandang remeh mengenai penjagaan kesihatan.
“Saya mahu fokus kepada risiko yang boleh dimodifikasi iaitu risiko yang boleh dikurangkan dengan menjaga berat badan, bersenam, menjaga pemakanan dan meminum air masak secukupnya.
“Pesakit juga dinasihatkan agar tidak mengamalkan rawatan sendiri selain daripada rawatan pakar kerana kebanyakan pesakit memilih untuk membeli ubat tahan sakit di kaunter farmasi sahaja.
“Ketahuilah bahawa preskripsi ubat dan rawatan yang salah boleh menyebabkan komplikasi yang teruk seperti kegagalan buah pinggang,” ujarnya.
Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh