Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

INFERTILITI: SOLUSI DAN RAWATAN MENANGANI MASALAH KESUBURAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 September 2024 – Infertiliti merujuk kepada pasangan yang tidak hamil selama setahun tanpa mengamalkan sebarang kaedah perancangan keluarga.

Kewujudan saringan dan rawatan moden serta terkini dapat meningkatkan peluang kehamilan pasangan yang mempunyai masalah kesuburan (infertiliti) untuk menimang cahaya mata.

IMG 20240909 WA0008

Pakar Perubatan Reproduktif, Unit Rawatan Kesuburan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Adibah Ibrahim berkata, wanita berusia kurang daripada 35 tahun dikategorikan mempunyai masalah kesuburan jika tidak hamil setelah setahun mencuba, manakala tempoh tersebut hanyalah enam (6) bulan untuk wanita berusia 35 tahun ke atas.

“Infertiliti berpunca daripada faktor lelaki atau wanita atau kombinasi faktor lelaki dan wanita.

“Kadangkala, tiada faktor yang dijumpai setelah saringan dilakukan dan keadaan ini dipanggil sebagai ‘unexplained infertility’ atau kebiasaan disebut sebagai ketidaksuburan tanpa punca.

“Antara punca utama infertiliti wanita adalah masalah ovulasi seperti sindrom ovari polisistik, gangguan pada tiub fallopio, endometriosis atau masalah pada rahim dan faktor usia juga memainkan peranan penting di mana kesuburan wanita menurun dengan bertambahnya usia,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.

Tambah Adibah, punca utama infertiliti bagi lelaki pula boleh disebabkan oleh kualiti sperma yang rendah, bilangan sperma yang sedikit atau masalah dengan penghantaran sperma.

“Oleh itu, pasangan perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah tersebut dengan berkesan.

“Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, satu (1) daripada lima (5) pasangan di Malaysia mengalami masalah kesukaran untuk mengandung.

“Kalau kita lihat keadaan hidup kita pada hari ini, ramai wanita kini memberi keutamaan membina kerjaya dan lambat berkahwin. Keadaan ini menjadikan keputusan untuk membina keluarga dilakukan pada usia yang lewat, di mana tahap kesuburan menurun,” jelasnya lagi.

Menurut Adibah, gaya hidup yang tidak sihat seperti pemakanan yang tidak seimbang, pengambilan bahan-bahan terlarang seperti merokok, pengambilan alkohol dan dadah juga merupakan antara faktor penyebab infertiliti.

“Terdapat beberapa cara untuk melakukan ujian saringan infertiliti kepada pasangan. Bagi wanita, keseimbangan hormon wanita dan kemampuan berovulasi ditentukan melalui ujian darah yang diambil pada hari kedua atau ketiga haid dan sekali lagi pada hari ke-21 haid.

“'Ultrasound' melalui faraj juga dilakukan untuk memastikan keadaan kilang telur atau ovari serta rahim tidak mempunyai masalah.

“Selain itu, keutuhan tiub fallopia juga dipastikan agar tidak mempunyai masalah melalui prosedur ‘hysterosalpingography’ iaitu sejenis ‘x-ray’ yang terperinci atau melalui kaedah pembedahan laparoskopik," ujarnya.

Adibah turut menjelaskan bahawa kaum lelaki juga perlu menjalani saringan dengan melakukan pemeriksaan air mani yang diambil melalui prosedur masturbasi dan sekiranya keputusan adalah normal, pemeriksaan lanjut tidak diperlukan lagi.

“Namun, jika keputusan pemeriksaan air mani tersebut tidak normal, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan.

“Gaya hidup dan pemakanan turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kesuburan, sama ada lelaki atau wanita dan berat badan berlebihan (obesiti) boleh mengganggu keseimbangan hormon dalam badan yang mana ia penting untuk ovulasi pada wanita dan penghasilan sperma yang sihat pada lelaki.

“Wanita yang kurus pula menghadapi masalah kitaran haid yang tidak teratur atau ketiadaan haid dan kekurangan lemak badan menyebabkan gangguan dalam ovulasi kerana lemak diperlukan untuk menghasilkan hormon estrogen,” terangnya lanjut.

Adibah berkata, diet seimbang yang kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan penting untuk kesihatan reproduktif.

“Antara nutrien penting untuk penghasilan sperma yang sihat kepada lelaki adalah asid folik, zink, vitamin C, vitamin E dan asid folik untuk wanita.

“Penggunaan bahan terlarang seperti rokok dan minuman keras mempercepatkan penurunan jumlah telur dan mengurangkan bilangan atau motiliti sperma yang sihat, merosakkan ‘deoxyribonucleic acid’ (DNA) sperma serta mengganggu persekitaran rahim,” jelas beliau.

Tambah Adibah lagi, bagi langkah pencegahan yang proaktif dan berkesan, individu dan pasangan perlu mengekalkan dan meningkatkan kesuburan dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengamalkan gaya hidup, pemakanan dan aktiviti fizikal yang sihat.

“Pengurusan stres dengan berkesan adalah kunci pencegahan kepada kesihatan reproduktif yang optimum dan kejayaan dalam merancang kehamilan pada usia yang sesuai,” katanya.

Adibah turut menerangkan bahawa rawatan infertiliti akan dilakukan bergantung kepada punca yang dikenal pasti.

“Jika infertiliti berpunca daripada masalah berovulasi, doktor boleh memberi ubat terlebih dahulu untuk merangsang ovulasi sebagai rawatan awal.

“Prosedur pembedahan untuk memperbaiki masalah fizikal dan penggunaan teknologi pembiakan bantuan seperti permanian beradas atau inseminasi intrauterin (IUI) dan ‘in vitro fertilization’ (IVF) merupakan rawatan terkini yang boleh diberikan.

“Ujian-ujian saringan dan rawatan-rawatan khas ini boleh diatur melalui pakej Perkhidmatan Kesihatan Eksekutif Hospital USM dan jika anda berminat, sila hubungi Poliklinik Eksekutif USM di talian 09-766 6200 atau layari laman ‘facebook’ USM Executive Health Services,” ulasnya lanjut.

Adibah turut menasihatkan pasangan yang sudah berkahwin dan bercadang untuk memiliki cahaya mata agar menangani masalah infertiliti dengan mengawal pemakanan dan mengambil makanan sihat di samping mengamalkan gaya hidup sihat dalam meningkatkan peluang untuk hamil secara semula jadi.

“Selain itu, Hospital USM turut menawarkan perkhidmatan Klinik Rawatan Kesuburan untuk pasangan yang mengalami masalah infertiliti sebagai usaha menyelesaikan masalah yang mereka alami,” katanya.

Teks: Marlina Zahari / Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom

  • Created on .
  • Hits: 160