Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KAITAN ESTROGEN DAN KANSER RAHIM: APA YANG PERLU ANDA TAHU

KOTA BHARU, KELANTAN, 17 Mac 2023 – Dianggarkan lima (5) daripada 100,000 wanita Malaysia dikesan mengidap kanser setiap tahun. Berdasarkan statistik daripada ‘Malaysian National Cancer Registry Report 2019’, kanser rahim menduduki tempat ke-6 daripada 10 kanser paling kerap dikesan dalam kalangan wanita di Malaysia. 
 
Berdasarkan data tersebut, adalah amat penting untuk masyarakat mengetahui tanda-tanda awal kanser rahim dan melakukan pemeriksaan yang sepatutnya supaya penyakit ini dapat dikesan pada peringkat awal.
 
IMG 20230314 WA0006
 
Menurut Pensyarah Perubatan dan Pakar Patologi, Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Noorul Balqis Che Ibrahim, kanser rahim berlaku disebabkan sel-sel pada lapisan dalam dinding rahim atau endometrium membiak tanpa kawalan dan menyebabkan lapisan ini menjadi tebal. 
 
“Ketebalan normal lapisan dalam dinding rahim adalah kurang daripada 10 milimeter (mm) dan ia berbeza mengikut kitaran haid, tetapi bagi mereka yang menghidap kanser rahim, ia akan menebal lebih daripada 10mm. 
 
“Kajian menunjukkan hormon estrogen merupakan punca utama menyebabkan kanser rahim. Walaupun hormon ini adalah hormon biasa terdapat pada wanita, namun pendedahan kepadanya secara berpanjangan boleh menyebabkan sel-sel pada lapisan dalam dinding rahim membahagi tanpa kawalan dan akhirnya boleh menjadi kanser,” katanya ketika sesi temubual dalam rancangan Sembang Sihat bersama Kelantan FM, semalam.
 
Tambah Noorul Balqis, golongan yang berisiko tinggi mendapat kanser rahim termasuklah pesakit polisistik ovarian sindrom, pesakit diabetis, mereka yang mengalami masalah obesiti, mandul serta mereka yang tanpa sedar mengambil hormon estrogen daripada produk-produk yang tidak diketahui isi kandungan sebenarnya.
 
Jelas beliau lagi, antara tanda awal kanser rahim adalah pendarahan haid yang tidak normal, banyak dan berpanjangan serta pendarahan selepas menopaus.
 
"Selain itu, tanda lain termasuklah gejala disebabkan kurangnya hemoglobin seperti cepat letih dan mengah. Sekiranya mereka lewat mendapatkan rawatan, mereka mungkin datang dengan gejala bahagian abdomen atau pelvik yang membesar.
 
“Pesakit yang mengalami tanda-tanda tersebut akan diperiksa dan imbasan rahim akan dilakukan untuk melihat keadaan rahim dan mengukur ketebalan lapisan dalam dinding rahim.
 
"Sekiranya ia tebal, doktor akan mengesyorkan pesakit untuk menjalani biopsi bagi menentukan sama ada tisu tersebut normal atau tidak," ujarnya lagi.
 
Noorul Balqis berkata, pada tahap awal kanser rahim, pesakit boleh dirawat melalui rawatan hormon. 
 
"Namun sekiranya dikesan pada tahap yang lebih teruk, terdapat pilihan rawatan seperti rawatan radioterapi, kimoterapi dan pembedahan," jelasnya lagi.
 
Noorul Balqis juga turut menasihatkan agar semua wanita menjalani gaya hidup sihat, makan secara sihat dan kekal aktif kerana hal ini dapat membantu mengelak daripada obesiti yang menjadi salah satu faktor penyumbang kepada risiko mendapat kanser rahim.
 
“Jadilah pengguna yang bijak dengan mengambil tahu kandungan sesuatu produk sebelum menggunakannya. 
 
"Kita mungkin tidak pasti sama ada terdapat kandungan estrogen sehingga kita terdedah kepada paras estrogen yang tinggi," ulasnya mengakhiri temubual.
 
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
  • Created on .
  • Hits: 483