Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KENALI ASMA DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DAN CARA MENCEGAHNYA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 September 2021 – Asma merupakan sejenis penyakit kronik di mana saluran pernafasan kanak-kanak menjadi sensitif dan menyebabkan kesukaran bernafas ekoran salur pernafasan menjadi merah, bengkak, menghasilkan lendir berlebihan atau mudah teransang (hypersensitive).

Apabila terdedah kepada rangsangan atau faktor pencetus, salur pernafasan menjadi sempit dan ini menyebabkan kesukaran bernafas. Kebiasaan kanak-kanak yang mengalami asma akan bertindak balas dengan ubat Nebulizer.

SAVE 20210927 165307

Pegawai Perubatan Sarjana, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zainal Hisham Burhanudin berkata, terdapat beberapa simptom asma dalam kalangan kanak-kanak antaranya nafas berbunyi, sesak nafas atau bernafas laju serta dada berombak dan salah satu kriteria penting apabila seseorang kanak-kanak menghidap asma ialah mereka sering mengalami batuk.

“Agak mencabar bagi seseorang perawat untuk mendiagnosis kanak-kanak di bawah umur lima (5) tahun menghidap penyakit asma kerana ia mempunyai beberapa kriteria berbeza dengan kanak-kanak yang berumur lima (5) tahun ke atas yang mana mereka ini lebih mudah untuk dikenalpasti sebagai penghidap asma.

“Ramai ibu bapa akan segera ke hospital atau klinik untuk mendapatkan bantuan pelega pernafasan setiap kali anak mereka diserang asma. Pelega pernafasan mempunyai pelbagai jenis antaranya untuk melegakan kahak atau untuk rawatan asma kerana tidak semua pesakit yang menerima rawatan nebulizer bermakna mereka adalah pesakit asma,” jelasnya ketika ditemubual menerusi rancangan Sembang Sihat Kelantan FM, di sini.

Tambah Zainal, asma dalam kalangan kanak-kanak adalah penyakit yang biasa dan ia melibatkan semua peringkat umur. Data di Malaysia menunjukkan kanak-kanak sehingga umur 18 tahun sebanyak 7% adalah penghidap asma manakala data di seluruh dunia pula menunjukkan sebanyak 10% kanak-kanak menghidap asma terdiri dalam kalangan pelajar sekolah.

“Terdapat beberapa faktor yang dapat meningkatkan risiko seseorang terkena asma, di antaranya ialah faktor genetik di mana ibu bapa atau ahli keluarga terdekat yang menghidap asma.

“Selain itu, kanak-kanak yang mempunyai sejarah asma dalam kalangan ahli keluarga dan penyakit alahan lain seperti ‘eczema’ serta ‘allergic rhinitis’ mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat asma.

“Serangan asma boleh terjadi seandainya pesakit terdedah kepada faktor pencetus antaranya jangkitan kuman pada sistem pernafasan, pendedahan asap rokok, perubahan cuaca terutamanya cuaca sejuk, pendedahan kepada debunga, habuk ‘house dust mite’, kulat dan bulu haiwan peliharaan,” jelasnya lagi.

Zainal berkata, terdapat beberapa cara untuk mengawal asma dengan mengekalkan kesihatan yang baik seperti mengawal berat badan serta kecergasan dan sekiranya mempunyai masalah seperti alergik pada sesuatu benda, cuba elak  daripada mendekatinya lebih awal agar tidak mencetuskan serangan asma.

“Seandainya kanak-kanak tersebut mempunyai simptom-simptom penyakit asma, ibu bapa dinasihatkan agar segera membawa anak berjumpa doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan awal agar ianya tidak berlarutan.

“Gejala asma dapat dicegah dan dikendalikan. Untuk merawat asma pada kanak-kanak dan mencegahnya daripada berulang, ibu bapa perlu sentiasa menjaga persekitaran rumah terutama bahagian dalam rumah dan berusaha memastikan peredaran udara di dalam rumah berjalan dengan baik dari setiap penjuru rumah,” katanya.

Selain itu, Zainal turut menjelaskan bahawa kanak-kanak yang menghidap asma sangat alah terhadap asap rokok kerana asap rokok boleh menyebabkan saluran pernafasan menghasilkan kahak dan menyebabkan struktur silia menjadi rosak kerana kahak boleh berkumpul dalam saluran pernafasan bersama-sama dengan bahan tercemar lain daripada asap rokok tersebut.

“Kanak-kanak yang menghidap asma perlu dijauhkan daripada perokok kerana mereka akan lebih terdedah kepada bahaya ekoran asap yang mereka sedut adalah berganda iaitu asap daripada pembakaran rokok itu sendiri dan asap daripada perokok yang mempunyai kandungan karsinogen serta boleh menyebabkan kanser paru-paru.

"Adalah penting bagi penjaga yang merokok dan mempunyai anak berpenyakit asma berusaha untuk berhenti merokok serta mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di klinik kesihatan berhampiran.

“Asma boleh dikawal dan sebahagian kanak-kanak pulih semasa usia meningkat remaja manakala sebahagian lagi mendapat gejala yang lebih teruk kerana kanak-kanak asma biasanya berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman dalam paru-paru,” jelasnya lanjut.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 2587