Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KENALI SINDROM BANGUNAN SAKIT DAN SOLUSI PENCEGAHAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Mei 2023 - Pernahkah anda rasa lemas, sakit kepala, migrain, pedih mata, letih, gatal-gatal kulit ketika masuk atau berada dalam sesebuah bangunan walaupun pada awalnya anda tidak pernah mengalami situasi sebegitu sebelum memasuki bangunan tersebut?

Lebih aneh lagi anda kembali sihat selepas beberapa jam atau sebaik sahaja anda meninggalkan bangunan yang dimasuki. Ini sebenarnya berkait rapat pencemaran udara dalam persekitaran bangunan yang dikenali sebagai Sindrom Bangunan Sakit (SBS).
 
IMG 20230522 WA0008
 
Menurut Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nurulilyana Sansuddin, SBS merupakan situasi di mana penghuni sesebuah bangunan mengalami masalah kesihatan yang akut atau serius apabila berada di dalam bangunan tersebut. 
 
“Masalah kesihatan tersebut biasanya akan hilang sebaik sahaja penghuni keluar meninggalkan bangunan itu. 
 
“Semakin lama penghuni yang terdedah kepada SBS berada di dalam bangunan tersebut, mereka akan merasa semakin tidak selesa. Walau bagaimanapun tiada penyakit atau punca tertentu dapat dikenal pasti sebagai penyebab rasa ketidakselesaan tersebut. 
 
“Aduan berkaitan ketidakselesaan  mungkin hanya berlaku di dalam sesebuah bilik atau zon tertentu dan tidak mustahil ia juga boleh tersebar ke seluruh bangunan jika tidak diatasi dengan kadar segera,” katanya ketika ditemubual dalam segmen Sembang Sihat, Kelantan FM.
 
Tambah Nurulilyana, ciri-ciri yang boleh menjadi indikator kepada pengenalpastian SBS ini ialah apabila terdapat rungutan atau aduan berkait dengan kesihatan daripada penghuni setelah memasuki sesebuah bangunan seperti sakit kepala, kerengsaan pada mata, hidung atau tekak, batuk kering, kulit kering, gatal, pening, mual, lesu, hilang konsentrasi dan sensitif kepada bau yang terhasil.
 
"Selain itu, punca kepada simptom penyakit tersebut turut tidak dapat dikenal pasti dan kesemua simptom yang dialami hanya berlaku apabila penghuni berada di dalam bangunan tersebut dan sebaik sahaja mereka meninggalkan bangunan, simptom yang dialami tadi akan hilang.
 
“Mengikut ‘American Standards for Heating, Refrigeration and Air-Conditioning Engineers’ (ASHRAE), hal ini hanya terpakai jika 20 peratus (%) atau lebih daripada penghuni sesebuah bangunan mengadu mengalami gejala ketidakselesaan kesihatan tersebut untuk tempoh melebihi dua (2) minggu,” ujarnya lagi.
 
Nurulilyana berkata, SBS boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan penghuni khususnya mereka yang berisiko seperti pesakit asma, kanak-kanak dan warga emas. 
 
“Namun, perkara ini dapat dibendung jika langkah-langkah pencegahan dapat diamalkan dengan baik. 
 
“Elemen keselamatan sepatutnya diterapkan bukan sahaja kepada penghuni bangunan, malah langkah proaktif dan amalan yang betul menjadi tanggungjawab bukan sahaja kepada penyelenggara sesebuah bangunan, malah penghuni bangunan itu sendiri”, jelasnya.
 
Menurut Nurulilyana, SBS juga mempunyai perkaitan dengan pencemaran udara daripada luar bangunan selain peralatan dalam bangunan itu sendiri serta penghuni.
 
“Antaranya adalah berpunca daripada ekzos kereta yang dipakir berhampiran bangunan yang mana ianya akan menghasilkan gas karbon monoksida, peralatan atau produk berhampiran bangunan yang mungkin mengeluarkan gas penyebab kepada ‘contact dermatitis’ dan asap rokok.
 
“Selain itu, sistem pendingin hawa yang tidak diselenggara secara berkala juga antara penyebab kepada pengumpulan gas karbon dioksida dan karbon monoksida, bahan binaan bangunan yang menyebabkan pertumbuhan mikroorganisma, kehadiran kulat, fungus, bakteria dan hama dalam bangunan yang tidak dibersihkan dengan baik serta serangan makhluk perosak seperi tikus, lipas dan sebagainya yang tidak dibanteras,” ulasnya lanjut. 
 
Nurulilyana turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa langkah untuk mencegah SBS daripada berlaku.
 
“Antaranya ialah dengan melakukan penyelenggaraan bangunan dan kawasan sekitarnya termasuk membersihkan sistem pendingin hawa bagi meningkatkan kadar pengudaraan, mengatasi kebocoran paip air di dalam bangunan untuk mengelak kawasan dalam bangunan yang basah atau lembap bagi mengawal pembiakan kulat, memastikan pencahayaan semula jadi dapat memasuki bangunan dan kawalan haiwan perosak yang mesti dilakukan oleh pengendali berlesen serta kompeten.
 
“Selain itu, pengawalan terhadap bahan pencemar udara semasa proses pengubahsuaian sesebuah bangunan juga perlu diambil berat bagi memastikan persekitaran kawasan yang tidak terlibat dilindungi daripada pencemaran, pembersihan dalaman yang kerap untuk mengawal habuk, melaksanakan dasar larangan merokok dan memasang penapis udara di dalam premis,” katanya.
 
Nurulilyana turut menasihatkan agar penghuni sesebuah bangunan lebih cakna terhadap SBS dengan memahami tentang bahayanya jika terdedah kepada sindrom ini serta mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan langkah-langkah yang sepatutnya bagi mengatasi SBS,” ujarnya lagi.
 
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
  • Created on .
  • Hits: 460