KESELAMATAN MATA DI TEMPAT KERJA: AMBIL CAKNA ELAK RISIKO DAN BAHAYA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 November 2023 - Mata merupakan anugerah yang sangat berharga bagi setiap insan. Bagi memastikan deria penglihatan ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan sempurna, penjagaan mata perlu dititik beratkan bukan sekadar melalui pemilihan makanan dan vitamin, namun aspek keselamatan mata juga wajib diambil tahu.
Kajian retrospektif kecederaan mata pada tahun 2021 di Malaysia menunjukkan sebanyak 8,861 kes kemalangan di tempat kerja melibatkan kecederaan mata telah didaftarkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sepanjang lima (5) tahun pemantauan.
Berdasarkan kajian antarabangsa pula melaporkan bahawa peratusan kecederaan mata berlaku di tempat kerja adalah lebih tinggi iaitu 38.5 peratus (%) berbanding akibat kemalangan jalan raya 20.5%, bersukan sebanyak 29% dan melalui pergaduhan 5%.
Sebanyak 72.5% daripada kes kecederaan mata yang dilaporkan di tempat kerja adalah akibat tusukan manakala 26.5% akibat hentaman dan 1% kesan percikan bahan kimia.

Pakar Oftalmologi dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Shahidatul Adha Mohamad berkata, kempen kesedaran keselamatan mata perlu dipertingkatkan untuk memberi kefahaman kepada pekerja terhadap risiko yang boleh mencederakan mata di tempat kerja dan ini sejajar dengan tema sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2023 - 'Love Your Eyes at Work'.
“Stigma masyarakat yang menganggap risiko kecederaan mata di tempat kerja hanya berlaku dalam kalangan pekerja pembinaan sahaja perlu dikikis.
"Mereka perlu sedar aspek lain dalam kegiatan seharian juga boleh menjadi punca kecederaan mata seperti debu, habuk, besi, logam, kaca, serpihan konkrit, peralatan kerja yang tidak stabil, percikan bahan kimia, cahaya kimpalan, cahaya radiasi dan objek yang terpelanting menusuk ke dalam mata.
“Selain itu, penggunaan telefon pintar dan komputer dalam tempoh yang lama turut berbahaya kerana boleh menyebabkan mata menjadi kering, kabur, sakit kepala dan kelesuan atau dikenali sebagai ‘digital eye strain'," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Menurut Shahidatul, kecederaan mata yang seringkali berlaku di tempat kerja secara amnya dikategorikan kepada dua (2) iaitu kecederaan traumatik dan kecederaan pendedahan.
“Kecederaan traumatik ialah seperti hentakan objek tumpul atau tusukan objek tajam yang menyebabkan risiko pendarahan dalam mata, pecah bola mata atau menembusi keseluruhan mata.
"Kecederaan pendedahan pula berpunca daripada bendasing seperti habuk sampah, habuk besi, percikan bahan kimia berbahaya seperti asid atau alkali yang mengakibatkan luka atau melecet pada kornea," jelasnya lagi.
Tambah Shahidatul, lebih 85% kes kecederaan mata berkaitan kerja biasanya berlaku ketika mereka sedang menggerudi, mengimpal besi dan memotong logam, manakala 10% lagi berlaku ketika sedang bertukang dan menukul.
"Individu yang berisiko tinggi mendapat kecederaan mata ketika di tempat kerja adalah dalam kalangan mekanik, jurukimpal, tukang rumah, pekerja sektor pembinaan, ahli sukan, pemotong rumput dan tukang cuci.
"Bagi memastikan pekerja mengambil langkah keselamatan di tempat kerja, satu Garis Panduan Pencegahan Kemalangan di Tempat Kerja telah dibangunkan oleh Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Langkah keselamatan tersebut adalah mengenal pasti punca risiko, mewujudkan suasana kerja yang selamat, memastikan peralatan berfungsi dengan baik, memilih alat pelindung yang sesuai dan memastikan alat pelindung sentiasa berada dalam keadaan baik," ujarnya.
Shahidatul berkata, pelindung mata wajib digunakan apabila melakukan kerja yang terdedah kepada bahaya bagi mencegah kecederaan serta risiko kehilangan penglihatan kekal dan perlu bersesuaian dengan pekerjaan bergantung kepada jenis bahaya, persekitaran kerja dan keperluan individu.
"Majikan juga perlu memainkan peranan dalam isu keselamatan mata di tempat kerja dengan membuat caruman dengan PERKESO.
“Majikan perlu bertanggungjawab membuat caruman PERKESO kepada pekerja memandangkan kecederaan atau kemalangan berpotensi berlaku di semua tempat kerja selain wajib menyediakan alat pelindung mata yang bersesuaian supaya dapat mengelakkan kecederaan daripada berlaku," katanya.
Shahidatul turut mengingatkan bahawa kemalangan mata masih boleh berlaku walaupun alat pelindung mata digunakan.
"Namun begitu, tahap kecederaan mata yang dialami tidak begitu serius atau kritikal.
“Sekiranya berlaku tusukan bahan tajam seperti kepingan besi, paku, skru, kaca, jangan sesekali cuba mencabutnya keluar dari mata sebaliknya harus segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut kerana bahan tajam ini perlu dikeluarkan melalui pembedahan," ulasnya.
Jelas Shahidatul, bagi mereka yang terkena percikan bahan kimia atau pencuci, segera basuh mata dengan melalukan air bersih yang mengalir selama 20 minit dan terus ke klinik atau hospital untuk iritasi selanjutnya.
"Rujukan kepada doktor mata adalah sangat penting bagi melihat dan menilai kecederaan pada setiap struktur mata supaya rawatan dapat diberikan dengan betul,” ujar beliau lagi.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 568