Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MATI PUTIK : KENALI SEKSUALITI ELAK DISFUNGSI

KOTA BHARU, KELANTAN, 4 April 2022 - Mati putik atau nama saintifiknya disfungsi seksual wanita mungkin tidak menjadi masalah besar bagi sebahagian wanita, namun ada sebilangan pihak yang merana dalam diam kerana malu untuk mendapatkan bantuan sedangkan ia boleh dirawat.

Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Rosediani Muhamad, di Malaysia, tiga (3) daripada 10 wanita pernah atau sedang mengalami masalah mati putik.

67ef144b 7ad8 4132 8928 5e32e0844243

“Wanita yang mengalami disfungsi seksual biasanya merasakan seks tidak lagi menjadi keutamaan (hilang nikmat perkahwinan) di dalam kehidupan sedangkan menjaga kesihatan seksual merupakan suatu ibadah dan kunci dalam membentuk perhubungan mawaddah dan sakinah dalam rumahtangga.

“Perasaan malu dan tabu terus menghantui dan membatasi mereka sehingga masalah yang dibiarkan itu menjadi parah apabila suami juga tidak mempunyai ilmu untuk membantu,” ujarnya semasa menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat Radio Kelantan FM. 

Tambah Rosediani, kebanyakan wanita Malaysia yang menghadapi masalah mati putik cuba mencari jalan penyelesaian dengan memilih produk berbentuk jus atau minuman bagi meningkatkan keintiman untuk melakukan hubungan seks.

“Selain itu, ada juga yang memilih kaedah berurut atau bertemu bidan bagi menyelesaikan masalah mereka. Namun, keberkesanan yang diperoleh tetap mengecewakan.

“Faktor penyebab kepada masalah mati putik ini sebenarnya melibatkan masalah toleransi pasangan yang akhirnya mengganggu emosi serta perhubungan mereka dan hanya sebahagian kecil sahaja disebabkan masalah fizikal.

Sebenarnya, kesihatan mental memainkan peranan utama dalam permasalahan ini," jelasnya lagi.

Rosediani berkata, lebih menyedihkan lagi sekiranya isteri terus dipersalahkan dalam hal ini dan penyelesaian yang diambil ialah meleraikannya dengan jalan perceraian.

“Masalah seksual dalam kalangan wanita juga antara penyebab yang menjadi penyumbang kepada tingginya kes perceraian di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Selangor.

“Terdapat tiga punca utama masalah ini berlaku iaitu masalah dalam diri sendiri seperti kesibukan dengan kerja, stres berpanjangan, proses kehidupan yang meletihkan seperti proses mengandung, melahirkan, menyusukan, membesarkan anak, mengambil pil perancang, mempunyai penyakit kronik seperti kanser dan sebagainya.

“Faktor persekitaran dan didikan keluarga juga antara punca masalah mati putik berlaku. Kefahaman tentang seksualiti yang cetek serta kurangnya komunikasi, toleransi, kefahaman tentang seks atau hubungan intim juga menyebabkan hubungan suami isteri semakin renggang,” ulasnya lanjut.

Rosediani turut menjelaskan bahawa suami perlu memainkan peranan penting dalam mengemudi rumah tangga dan menjaga perhubungan dengan pasangan. 

“Sikap suami yang berang, tidak pandai menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang, berat tulang, tidak pandai berkomunikasi, memujuk isteri untuk merasai kenikmatan melakukan hubungan seks juga antara punca masalah ini berlaku.

“Masalah mati putik juga mampu dirawat dan dicegah dari awal sebelum ianya memudaratkan diri dan pasangan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, untuk mencegah masalah ini, setiap pasangan perlu memperbetulkan niat mereka terhadap hubungan seks dengan menganggap ia sebagai ibadah, meningkatkan komunikasi dan toleransi, mengubah cara hidup yang lebih mesra keluarga dan menzahirkan kasih sayang antara suami isteri.

“Bagi mereka yang mengalami masalah ini, jangan segan atau malu untuk mendapatkan rawatan atau nasihat daripada doktor di mana-mana Klinik Kesihatan, Klinik Kesejahteraan Wanita dan Klinik Rawatan Keluarga.

“Kongsi masalah anda kerana anda juga layak untuk dapatkan hidup yang lebih bermakna serta keluarga yang bahagia,” ujarnya lagi.

Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood & Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 417