Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

OKU AKTIF: KEKURANGAN BUKAN PENGHALANG

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 April 2023 – Orang Kurang Upaya (OKU) didefinisikan sebagai seseorang yang mengalami kekurangan atau kecederaan kekal fizikal atau kecacatan mental yang mempunyai kesan jangka panjang ke atas keupayaannya untuk melakukan aktiviti seharian secara normal.

Terdapat kategori tertentu dalam menentukan kekurangan upaya mereka. Secara umum, golongan OKU mudah terdedah kepada masalah berat badan dan risiko penyakit kronik kerana gaya hidup yang tidak sihat.

IMG 20230402 WA0010

Menurut Pensyarah Program Sains Senaman dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Syamsina Dato’ Haji Ahmad, menyedari permasalahan tersebut, beliau melakukan kajian dengan memfokuskan penyelidikan dan aktiviti komuniti terhadap golongan kurang upaya pembelajaran.

“Saya dan pasukan sepakat untuk memperkenalkan ‘Program OKU Aktif’. Idea untuk melaksanakan program ini tercetus semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2020, yang mana Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) seluruh negeri Kelantan ditutup dan golongan ini terpaksa menjalani kelas secara dalam talian.

“Hal demikian menyebabkan aktiviti kecergasan mahupun sosial kurang dijalankan bersama rakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dengan adanya program ini, ia sedikit sebanyak membantu meningkatkan kualiti hidup mereka serta menambah nilai di dalam sistem modul di PPDK,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM, di sini.

Tambah Nur Syamsina, Program OKU Aktif memberi fokus kepada beberapa jenis senaman ringkas yang sesuai untuk golongan OKU.

“Senaman ini dilaksanakan secara dalam talian bersama-sama pelatih OKU di 43 buah PPDK seluruh negeri Kelantan.

“Teknik senaman dan video juga dikongsi sebagai panduan dan rujukan kepada semua anak-anak istimewa untuk kekal aktif,” ujarnya lagi.

Nur Syamsina berkata, jurulatih akan menunjukkan teknik senaman seperti orang biasa dan hanya intensiti latihan atau teknik diubah mengikut kesesuaian golongan ini kerana mereka cuma mengalami masalah intektual sahaja.

“Selain itu, para pelatih OKU juga dapat mengikuti senaman di PPDK masing-masing bersama guru-guru dengan menggunakan video yang telah direkod,” jelasnya.

Beliau berkata, pelbagai cabaran dilalui semasa menjalankan Program OKU Aktif dalam memastikan teknik senaman yang dilakukan oleh pelatih adalah teknik yang betul.

“Untuk menangani isu atau cabaran tersebut, beberapa orang guru di PPDK telah dilantik sebagai pembantu instruktor dan diberikan sijil.

“Video yang telah direkod oleh instruktor senaman dihantar kepada guru-guru untuk melakukan sendiri aktiviti senaman setiap hari Rabu di PPDK masing-masing secara fizikal.

“Hasil kepada komuniti sasaran terutamanya golongan OKU tercapai apabila dapat menghasilkan gaya hidup sihat dalam kalangan OKU dan guru-guru PPDK,” katanya.

Menurut Nur Syamsina, para pelatih OKU ini juga telah di dedahkan dengan Hari Sukan Negara yang juga turut dihadiri oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman.

"Ujian kecergasan telah dijalankan dan hasilnya seramai 14 orang dikenal pasti mempunyai pontensi yang baik dalam bidang sukan.

“Pelatih-pelatih OKU yang berpotensi ini telah melalui tapisan bersama jurulatih dan seramai dua (2) orang pelatih terpilih untuk diketengahkan serta telah menjalani latihan berpusat dan seterusnya menyertai pertandingan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2023.

“Bakat mereka ini harus digilap dan diketengahkan oleh pihak bertanggungjawab agar tidak tersisih atau diabaikan kerana para pelatih OKU sangat berminat untuk menyertai aktiviti sosial, namun tiada platform yang sesuai untuk mereka,”ulasnya.

Nur Syamsina berkata, bagi memastikan Program OKU Aktif diteruskan, semua aktiviti senaman yang dijalankan hampir enam (6) bulan dirakam dan digabungkan serta dibukukan di dalam ‘Ebook’.

“Ebook yang dihasilkan mengandungi beberapa modul senaman ringkas diberikan secara percuma kepada semua PPDK seluruh negeri Kelantan selain turut dijual di platform indiework.usm.my.

“Hal ni menunjukkan teknologi semasa juga memainkan peranan besar dalam usaha menyampaikan ilmu kepada masyarakat,” jelasnya lanjut.

Nur Syamsina turut berharap semua pihak memainkan peranan agar golongan OKU tidak dipinggirkan kerana mereka juga mampu memberi sumbangan kepada masyarakat khususnya dan negara amnya.

Teks : Wan Salizawati Wan Ismail / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 277