Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PANTAU KESIHATAN JANTUNG ANDA UNTUK HIDUP LEBIH SIHAT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Februari 2025 – Kesihatan jantung yang optimum merupakan asas kepada kehidupan yang aktif dan panjang umur. Jantung yang berfungsi dengan baik sangat penting untuk mengepam darah dan oksigen ke seluruh tubuh bagi memastikan tubuh beroperasi dengan efisien dan sihat.

1000113703

Pakar Perubatan Penyakit Dalam, Jabatan Perubatan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Teo Jen Keat berkata, kesihatan jantung merujuk kepada saluran darah yang bebas daripada plak, tekanan darah yang terkawal, kadar denyutan jantung yang stabil dan paras kolesterol yang seimbang.

"Jantung yang sihat membolehkan kita menjalani aktiviti harian tanpa keletihan melampau, mengurangkan risiko penyakit kronik dan meningkatkan kesejahteraan jangka panjang.

"Masalah jantung sering tidak disedari sehingga keadaan menjadi lebih serius,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM.

Beliau turut menjelaskan bahawa tanda-tanda awal seperti sakit dada semasa aktiviti, sesak nafas, keletihan berlebihan, berdebar-debar tanpa sebab jelas dan bengkak pada kaki boleh menunjukkan kegagalan jantung mengepam darah dengan berkesan.

"Mengambil langkah awal untuk mengenal pasti simptom ini dapat membantu mencegah masalah jantung daripada menjadi lebih serius.

"Jika mengalami salah satu atau lebih daripada gejala ini, pesakit dinasihatkan segera mendapatkan rawatan perubatan bagi mencegah komplikasi yang lebih teruk," jelasnya lagi.

Tambah Teo Jen Keat, antara faktor utama yang menyumbang kepada penyakit jantung termasuk pemakanan tidak sihat, kurangnya aktiviti fizikal, merokok, tekanan darah tinggi, paras kolesterol yang tinggi, diabetes yang tidak terkawal serta tekanan emosi berpanjangan.

Beliau turut memaklumkan bahawa perubahan kecil dalam gaya hidup seperti bersenam setiap hari, mengurangkan pengambilan garam dan lemak tepu dalam diet serta berhenti merokok dapat memberi impak besar kepada kesihatan jantung.

"Individu yang melakukan aktiviti fizikal sederhana setiap hari dapat mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular sebanyak 22 hingga 25 peratus (%).

"Selain itu, berhenti merokok boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sehingga 50% dalam tempoh setahun,” katanya.

Teo Jen Keat berkata, lemak sihat (lemak tidak tepu) daripada makanan seperti minyak zaitun, avokado, kekacang dan ikan berlemak dapat menyokong peningkatan paras kolesterol baik (HDL).

“Sementara itu, makanan tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh membantu menurunkan kolesterol jahat (LDL) sekali gus menyokong kesihatan jantung secara keseluruhan.

"Aktiviti fizikal selama 30 minit sehari dapat menurunkan tekanan darah, mengurangkan kolesterol jahat serta meningkatkan paras kolesterol baik.

“Ini merupakan langkah pencegahan yang berkesan untuk mengekalkan kesihatan jantung dalam jangka masa panjang," tambahnya lagi.

Menurut beliau, mengawal faktor-faktor risiko melalui gaya hidup sihat adalah kunci untuk mengurangkan risiko penyakit jantung dan memastikan kesihatan jantung tetap terjaga.

“Pemeriksaan kesihatan secara berkala adalah penting bagi memantau tekanan darah, paras kolesterol dan gula dalam darah serta indeks jisim badan (BMI). Ini dapat membantu mengesan risiko penyakit jantung lebih awal.

"Doktor akan mengesyorkan pemeriksaan seperti elektrokardiogram (ECG) kepada individu berisiko tinggi bagi menilai ritma jantung serta mengenal pasti sebarang masalah atau tanda awal serangan jantung,” ujarnya.

Teo Jen Keat turut menasihatkan orang ramai agar mengambil tindakan segera sekiranya melihat seseorang mengalami serangan jantung.

"Jika seseorang telah disahkan ada penyakit jantung dan diberikan ubat seperti aspirin atau nitrogliserin, mereka harus mengambilnya mengikut nasihat doktor untuk membantu melancarkan aliran darah.

"Aspirin membantu menghalang pembekuan darah, manakala nitrogliserin melegakan kesakitan dada dan meningkatkan aliran darah ke jantung.

"Jika serangan jantung berlaku ketika bersendirian, hentikan sebarang aktiviti, cari tempat yang selamat dan segera hubungi perkhidmatan kecemasan," jelasnya.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan tidak mengabaikan tanda-tanda awal masalah jantung untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan menikmati kehidupan yang lebih sihat.

"Kesihatan jantung adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian dengan mengamalkan gaya hidup sihat," katanya mengakhiri perbualan.

Teks: Marlina Zahari / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 119