Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENGESANAN AWAL STROK BANTU ELAK RISIKO LEBIH TERUK

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 November 2021 – Segelintir masyarakat pada masa kini mengabaikan gejala awal strok atau angin ahmar kerana beranggapan ia hanya satu isyarat penyakit yang tidak perlu dirisaukan, seterusnya mengakibatkan komplikasi serangan strok yang lebih teruk.

Pakar Perubatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Syahmi Wan Mohamad berkata, penyakit strok dikategorikan sebagai penyakit 'Cerebrovascular' yang mempunyai kaitan dengan saluran darah ke otak yang tidak dapat membekalkan bekalan darah dan juga oksigen mencukupi.

"Sekiranya oksigen yang disalurkan tidak mencukupi, tisu-tisu pada bahagian otak akan mengalami kerosakan dan akhirnya mati serta mengakibatkan seseorang itu mengalami strok.

“Terdapat dua jenis strok, pertamanya yang paling biasa terjadi dalam kalangan masyarakat dikenali sebagai 'Strok Iskemia' di mana saluran darah tersumbat dan tidak dapat membekalkan darah dan oksigen yang secukupnya.

"Jenis kedua pula dikenali sebagai 'Strok Berdarah' di mana saluran darah dalam otak pecah," ujarnya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di Radio Kelantan FM, baru-baru ini.

ss

Tambah Syahmi, 80 peratus daripada kes penyakit strok disumbangkan oleh 'Strok Iskemia' dan untuk pengetahuan semua, strok merupakan penyumbang kematian kedua terbesar selepas penyakit jantung di seluruh dunia.

"Berdasarkan statistik, 150 orang daripada 100,000 penduduk Malaysia mendapat penyakit strok dan bilangan pesakit ini bertambah dari setahun ke setahun.

“Jika langkah-langkah tidak diambil untuk merawat dari awal serta tiada pencegahan, dianggarkan satu (1) daripada empat (4) penduduk Malaysia boleh menghidap penyakit strok menjelang tahun 2040 dan bahaya penyakit ini bukan sahaja menyebabkan kematian tetapi juga boleh menyebabkan kecacatan kekal dan ketidakupayaan anggota badan," jelasnya lagi.

Menurut Syahmi, faktor umur yang lanjut juga adalah salah satu penyebab seseorang itu mendapat penyakit strok.

"Statistik terbaharu menunjukkan bahawa 40% daripada pesakit strok adalah pesakit berumur 60 tahun ke bawah dan perkara ini amat membimbangkan.

"Terdapat beberapa gejala strok yang dikenalpasti antaranya kelumpuhan anggota badan, susah bercakap, muka menjadi senget sebelah, hilang keseimbangan dan ia bergantung kepada bahagian otak mana yang terkesan," katanya.

Syahmi yang juga Pensyarah Perubatan turut menjelaskan cara-cara mengenalpasti individu yang menghidap penyakit strok dengan menggunakan singkatan huruf 'BEFAST'.

"(B) untuk 'balance' merujuk kepada gejala pening dan hilang keseimbangan, (E) untuk 'eye' iaitu penglihatan sama ada kabur atau sebaliknya, (F) untuk 'Facial Asymmetry' atau muka menjadi senget sebelah, (A) untuk 'arm' merujuk kepada bahagian badan yang lumpuh, (S) untuk 'speech' adalah merujuk kepada percakapan yang tidak jelas dan (T) untuk 'time' merujuk kepada peringatan bahawa strok adalah satu kecemasan perubatan di mana pesakit perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

“Langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak daripada terkena penyakit strok ialah menjaga pemakanan agar berat badan tidak berlebihan, tidak merokok, tidak  mempunyai tahap kolestrol yang tinggi dan tidak menghidap diabetes (kencing manis)," ulas beliau lanjut.

Syahmi berkata, terdapat juga perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan dan menjadi salah satu penyebab penyakit strok seperti faktor umur, faktor etnik dan keturunan.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Reka grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 313