PROSTESIS ORAL: KENALI PENYAKIT YANG BERKAITAN UNTUK PENCEGAHAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Januari 2025 – Prostesis oral seperti gigi palsu, jambatan pergigian dan implan sering digunakan untuk menggantikan gigi yang hilang atau rosak. Walau bagaimanapun, penggunaan prostesis ini boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan mulut jika tidak dijaga dengan baik.
Penyakit mulut yang berkaitan dengan prostesis biasanya berpunca daripada iritasi tisu, jangkitan atau kebersihan mulut yang tidak mencukupi. Beberapa penyakit yang sering berlaku termasuk stomatitis, candidiasis dan mukositis.
Menurut Pensyarah Kanan yang juga Pakar Prostodontik, Unit Prostodontik Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Zaihan Ariffin, stomatitis merupakan keradangan membran mukus mulut yang boleh berlaku akibat iritasi prostesis atau kebersihan mulut yang kurang baik.
“Candidiasis adalah jangkitan kulat yang sering berlaku pada pengguna gigi palsu yang tidak menjaga kebersihan mulut dengan baik dan jangkitan kulat ini dikenali sebagai ‘thrush’ yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesukaran untuk makan serta bercakap.
“Mukositis pula adalah keradangan atau ulser pada tisu yang terletak di bawah gigi palsu dan sering terjadi disebabkan oleh tekanan yang dikenakan oleh prostesis terhadap tisu mulut. Jika tidak dirawat, luka ini boleh merebak dan menyebabkan lebih banyak kerosakan pada gusi dan mukosa mulut.
“Selain itu, peri-implantitis juga adalah keradangan pada tisu yang menyokong implan pergigian dan boleh menyebabkan kerosakan serius jika tidak ditangani dengan betul,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Beliau berkata, pengumpulan plak bakteria yang tidak dibersihkan dengan baik boleh menyebabkan keradangan pada gusi dan gigi sekaligus membawa kepada penyakit seperti karies gigi, mulut berbau, gingivitis dan periodontitis.
“Penggunaan prostesis seperti gigi palsu secara langsung boleh meningkatkan pengumpulan plak dan seterusnya meningkatkan risiko jangkitan dan penyakit gusi,” jelasnya lagi.
Tambah Zaihan, kecederaan tisu mulut akibat penggunaan prostesis yang salah atau tidak sesuai boleh menyebabkan luka pada tisu mulut seperti ulser dan atrofi.
“Sekiranya iritasi atau keradangan ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penyakit mulut yang lebih serius seperti lesi mulut pra-malignan, lichen planus atau leukoplakia oral,” ujarnya.
Zaihan turut memberitahu bahawa tabiat pemakanan yang buruk seperti pengambilan gula berlebihan dan makanan yang melekit boleh meningkatkan risiko pembentukan kaviti atau karies gigi.
“Merokok dan pengambilan alkohol juga boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mulut, risiko penyebab daripada tabiat ini adalah penyakit gusi dan kanser mulut.
“Masalah kekurangan vitamin C juga boleh menjejaskan kesihatan gusi, manakala kekurangan air liur atau xerostomia boleh mempercepatkan kerosakan gigi.
“Untuk mengurangkan risiko penyakit mulut, pesakit disarankan untuk menjaga kebersihan mulut dan prostesis dengan teliti termasuk membersih prostesis setiap hari dengan pembersih yang sesuai serta menjalani pemeriksaan pergigian secara berkala,” terangnya lanjut.
Menurut Zaihan lagi, sekiranya pesakit mengalami tanda-tanda jangkitan atau masalah mulut berkaitan prostesis, rawatan awal secepat mungkin sangat penting untuk mencegah komplikasi lebih buruk.
“Rawatan yang boleh dilakukan termasuklah pembersihan secara profesional, pelarasan prostesis, preskripsi ubat antibiotik atau antifungal dan dalam beberapa kes tertentu, doktor mungkin akan mengganti atau memperbaiki prostesis tersebut.
“Amalan penjagaan mulut yang baik dan kerap mendapatkan rawatan pergigian akan membantu pesakit mengurangkan risiko penyakit mulut akibat penggunaan prostesis dan menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan sihat.
“Pesakit yang mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan masalah ini boleh menghubungi Unit Prostodontik Hospital Pakar USM atau Klinik Rawatan Keluarga Pergigian di talian 09-7674313 atau 09-7673720 untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang sesuai atau boleh juga mendapatkan rawatan dari klinik gigi berdekatan,” katanya.
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 110