Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

REMAJA DAN OBESITI: KENALI PUNCA DAN UBAH CARA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 April 2023 – Masalah obesiti atau kegemukan telah menjadi satu epidemik di peringkat dunia. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan bilangan kanak-kanak bawah usia lima (5) tahun yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes meningkat daripada 42 juta kepada 70  juta dalam dekad seterusnya.

 
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NMHS) pada tahun 2011, 5.8 peratus (%) kanak-kanak dan remaja berumur antara 5 hingga 17 tahun didapati mengalami masalah obes dan peratus ini terus meningkat dan dianggarkan menjelang tahun 2025, 1.65 juta kanak-kanak dan remaja akan mengalami masalah obesiti jika kesedaran atau campur tangan yang meluas tidak diambil pada masa ini. 
 
IMG 20230429 WA0015
 
Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Razlina Abdul Rahman, remaja dikategorikan sebagai obes jika mempunyai lemak terkumpul yang berlebihan dalam badan dan kiraan 'body mass index' (BMI) melebihi 27.5 ke atas.
 
"Obesiti boleh disebabkan oleh beberapa faktor iaitu genetik dan psikososial. 
 
"Bagi faktor genetik, ia sebenarnya melibatkan peratusan yang amat rendah dan hanya melibatkan remaja yang mewarisi penyakit daripada ibu bapa.
 
“Faktor yang lebih besar adalah daripada segi psikososial seperti pemilihan jenis makanan yang mempunyai kandungan tenaga yang tinggi dan amalan pengambilan saiz hidangan yang besar. Ibu bapa yang membiasakan anak-anak makan hingga terlalu kenyang sebenarnya mendedahkan anak anak mereka kepada amalan  pengambilan makanan  berlebihan dari tahap metabolisma badan” katanya ketika ditemubual dalam segmen Sembang Sihat di Kelantan FM.
 
Tambah Razlina, amalan jadual makan yang tidak teratur juga boleh menyumbang kepada obesiti apabila remaja cenderung untuk makan berlebihan kerana terlalu lapar setelah terlepas waktu makan yang sepatutnya. 
 
“Ini kerana tubuh manusia mengambil masa sehingga 20 minit untuk mendapat isyarat bahawa mereka sudah kenyang dan anak- anak cenderung untuk terus makan walaupun perut mereka telah penuh. Hal ini jika diamalkan berterusan boleh menyebabkan anak-anak kita obes.
 
“Selain pemakanan, remaja masa kini juga banyak mengamalkan gaya hidup sedentari iaitu gaya hidup yang melibatkan pergerakan minima dalam aktiviti seharian. 
 
"Ini menjadikan tenaga berlebihan yang diperoleh daripada pengambilan makanan tidak digunakan dan menyebabkan kegemukan," ujarnya lagi.
 
Razlina turut menjelaskan  peningkatan peranti teknologi seperti televisyen, telefon pintar, gajet dan penggunaan komputer yang banyak menggalakkan gaya hidup sedentari dalam kalangan remaja sehingga mereka sudah tidak berminat untuk berlari di padang atau bermain di luar rumah.
 
“Menurut kajian, penggunaan skrin kepada anak-anak sepatutnya tidak melebihi dua (2) jam sehari sahaja. Namun, anak-anak biasanya menghabiskan masa sehingga tujuh (7) hingga lapan (8) jam sehari dan ini membuatkan pergerakan mereka terlalu kurang.
 
"Tambahan lagi ada yang suka makan makanan segera sambil menonton yang turut menyumbang kepada peningkatan berat badan," jelasnya.
 
Razlina berkata, kesan jangka panjang yang ketara ialah kesan fizikal yang gemuk di mana ia melibatkan pelbagai penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolestrol yang tinggi.
 
"Gabungan ketiga-tiga penyakit tersebut termasuk kegemukan dipanggil 'Sindrom Metabolik' yang meningkatkan risiko untuk remaja mendapat penyakit jantung di usia muda.
 
“Selain itu, remaja obes yang mempunyai lemak di sekeliling leher boleh mengalami masalah ‘obstructive sleep apnea‘ iaitu kekurangan oksigen semasa tidur disebabkan rongga pernafasan yang tersekat menyebabkan mereka berdengkur, sukar bernafas dan berhenti bernafas ketika tidur.
 
"Hal ini juga sekaligus mengganggu kualiti tidur mereka mengakibatkan mereka mengantuk dan keletihan di waktu siang," katanya.
 
Menurut Razlina lagi, remaja perempuan juga cenderung mengalami masalah peredaran haid tidak normal dan gangguan hormon yang boleh menyebabkan masalah kesuburan apabila dewasa.
 
"Mereka yang obesiti juga berisiko untuk menghidap penyakit hati berlemak selain memberi kesan kepada kesihatan mental remaja dan hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana masalah ini akan memberi kesan sehingga mereka dewasa.  
 
"Remaja obesiti berisiko berhadapan dengan masalah buli, ejekan dan diskriminasi yang boleh membawa kepada masalah imej badan yang seterusnya menyebabkan masalah pemakanan seperti bulimia dan aneroksia.
 
"Mereka juga akan mengalami masalah kebimbangan, kurang keyakinan diri dan kemurungan yang boleh membawa kepada idea untuk membunuh diri," ujar beliau.
 
Razlina turut menasihatkan agar semua kanak-kanak dan remaja berusaha dalam memperbaiki tahap kesihatan dengan mengawal pemakanan, mengurangkan penggunaan skrin serta banyakkan beriadah. 
 
"Ibu bapa perlu memain peranan dalam menunjukkan sokongan dengan menyediakan pelbagai menu sihat dan menarik serta turut sama melakukan aktiviti bersama keluarga dan sentiasa konsisten dalam mengamalkan gaya hidup sihat bersama anak-anak," katanya.
 
Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh
  • Created on .
  • Hits: 2875