SAINS FORENSIK BANTU SISTEM PERUNDANGAN MALAYSIA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Ogos 2024 – Sains Forensik (SF) adalah satu aplikasi sains dalam membantu sistem perundangan dengan menganalisis sampel biologi, sampel kimia dan sampel fizikal yang terdapat di tempat kejadian.
Penyiasatan SF melibatkan ujian komparatif iaitu dengan membandingkan sekurang-kurangnya dua (2) item yang disebut sebagai bahan bukti dan bahan rujukan.
Menurut Pensyarah Universiti, Program Sains Forensik dan Unit HID/DNA, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Waliyuddin Hanis Zainal Abidin, cabang sains utama yang terlibat dalam SF adalah Kimia, Biologi dan Fizik.
“Terdapat juga bidang SF yang mengkaji corak dan teori jenayah untuk memahami bagaimana jenayah boleh terjadi dan seterusnya mencegah ia daripada terus berlaku.
“Dalam perundangan, SF terlibat dalam mengemukakan hasil ujian saintifik yang dijalankan. SF bukan untuk menentukan siapa yang terlibat atau bersalah. Siapa yang bersalah atau terlibat dalam jenayah ditentukan oleh hakim berdasarkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh peguam di mahkamah,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Nur Waliyuddin Hanis, ‘Deoxyribonucleic acid’ (DNA) digunakan dalam forensik untuk pengecaman identiti dan menentukan hubungan kekeluargaan.
“DNA manusia terdiri daripada empat (4) nukleotida iaitu A, T, C, dan G serta setiap sel akan membawa maklumat genetik yang sama. Rantaian nukleotida bes ini membentuk bebenang panjang dan berlingkar di dalam 23 pasang kromosom.
“Terdapat satu (1) pasangan kromosom unik yang digelar kromosom seks yang menentukan lelaki atau wanita yang disebut sebagai kromosom X dan Y. Kromosom XX menentukan jantina seseorang itu adalah perempuan dan kromosom XY adalah lelaki.
“Secara umumnya, 99.9 peratus (%) DNA setiap individu adalah sama dan hanya 0.1% DNA yang berbeza serta tidak mempengaruhi pembentukan protin dan fungsi badan. Pada bahagian kecil inilah terdapat penanda DNA yang digunakan untuk menjana profil individu yang unik dinamakan sebagai ulangan tandem pendek,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, DNA antara bukti paling banyak digunakan dalam kes sivil bagi penentuan ayah atau ibu kepada si anak, pengesahan DNA bagi menuntut kewarganegaraan dan menentukan salasilah keturunan atau keluarga jauh yang terpisah.
“Dalam kes polis yang melibatkan jenayah atau kematian, DNA digunakan untuk pengecaman identiti mangsa atau suspek dengan mengambil sampel biologi seperti darah atau cecair badan daripada mana-mana bahagian badan atau tulang untuk dijadikan sampel ujian.
“Konsep penyiasatan dalam drama agak berbeza dengan realiti kerana penyiasatan dalam drama memerlukan jalan cerita yang singkat dan mudah difahami bagi menarik perhatian penonton.
“Namun, realiti sebenar adalah berbeza kerana siasatan analisis makmal bagi menjana DNA memerlukan masa dan proses yang panjang mengikut peringkat. Sampel DNA perlu dibawa ke makmal dan keputusan analisis akan diserahkan kepada pihak polis untuk penyiasatan seterusnya,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran ketika memproses DNA, Nur Waliyuddin Hanis memberitahu, sekiranya sampel DNA yang diterima sudah terlalu lama terdedah kepada persekitaran, ia akan menyebabkan kualiti DNA yang diekstrak menjadi rendah serta menyukarkan analisis dijalankan.
Nur Waliyuddin Hanis turut memberi galakan kepada para pelajar yang berminat menceburi program SF di USM kerana program ini dibentuk mencakupi kursus-kursus Sains Kimia, Biologi, dan Fizik agar graduan boleh bekerja atau terus menyambung pengajian dalam pelbagai bidang.
“Antara prospek kerjaya yang boleh diceburi adalah di Jabatan Kimia Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, badan penguat kuasa, syarikat penyiasatan swasta dan makmal perkhidmatan.
“Di USM, program SF di PPSK telah bermula sejak tahun 2000 dan ia tertubuh sebelum adanya siri televisyen ‘Crime Scene Investigation’ (CSI) disiarkan.
“Setelah 24 tahun, kini lebih 500 graduan Sarjana Muda Sains Forensik dan 100 graduan pascasiswazah telah berjaya dilahirkan.
“Pada tahun 2008, Unit HID/DNA di PPSK USM telah ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan analisis DNA seperti ujian paterniti dan pengecaman individu serta unit ini telah mendapat akreditasi ISO17025 oleh Jabatan Standard Malaysia,” ulasnya lanjut.
Teks: R. Alia Fazni R. Azmi / Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom
- Created on .
- Hits: 298