SEDASI INHALASI: ELAK TRAUMA RAWATAN GIGI DALAM KALANGAN KANAK-KANAK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Mac 2025 - Sebahagian besar rawatan gigi terhadap kanak-kanak sering terganggu disebabkan perasaan takut atau cemas yang mereka alami. Kaedah lama seperti membalut kanak-kanak dengan selimut sepanjang rawatan gigi didapati boleh meninggalkan kesan trauma kepada kanak-kanak dan ibu bapa. Bagi mengatasi masalah ini, sedasi secara inhalasi menjadi pilihan yang semakin popular untuk memastikan proses rawatan gigi berjalan dengan lebih lancar dan selamat.
Menurut Pensyarah yang juga Pakar Pergigian Kanak-kanak, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Aimi Kamarudin, sedasi secara inhalasi ataupun pernafasan adalah satu kaedah sedasi menggunakan campuran dua (2) jenis gas iaitu gas oksigen dan nitrus oksida (N2O) yang disedut melalui alat atau pelitup hidung.
“Kaedah ini bertujuan supaya kanak-kanak hanya bernafas melalui hidung untuk menenangkan mereka semasa menjalani prosedur pergigian.
“Sedasi inhalasi sangat sesuai untuk kanak-kanak yang mudah berasa takut atau cemas serta mereka yang perlu menjalani prosedur pergigian yang kurang menyenangkan,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Aimi, terdapat empat (4) jenis sedasi yang boleh digunakan untuk rawatan gigi kanak-kanak iaitu oral sedasi, inhalasi sedasi, intravenous (IV) sedasi dan bius umum.
“Namun, pakar gigi kanak-kanak di Hospital Pakar USM (HPUSM) seperti saya, hanya boleh menggunakan oral sedasi atau inhalasi sedasi untuk rawatan di klinik gigi.
“Prosedur rawatan gigi menggunakan IV atau bius umum pula memerlukan bantuan kepakaran daripada pakar bius atau pakar kanak-kanak untuk menjamin keselamatan mereka sepanjang prosedur,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa sedasi inhalasi dengan N2O bukan sahaja membantu mengurangkan rasa takut dan cemas, tetapi juga memberikan rasa tenang yang membolehkan kanak-kanak bekerjasama dengan lebih baik semasa rawatan dijalankan.
“Gas ini akan disingkirkan daripada badan sejurus selepas kanak-kanak (pesakit) berhenti menyedutnya dan biasanya tidak meninggalkan kesan sampingan yang berpanjangan.
“Prosedur ini sangat selamat dan berkesan asalkan kanak-kanak tersebut dapat bernafas sepenuhnya melalui hidung,” terangnya.
Aimi berkata, keberkesanan sedasi inhalasi juga bergantung kepada faktor suasana ruang rawatan yang perlu tenang, komunikasi yang baik antara doktor gigi dan kanak-kanak serta pemilihan tingkat ‘volume’ gas N2O yang sesuai.
“Doktor gigi juga akan memastikan bahawa anak dilatih untuk bernafas dengan betul menggunakan pelitup hidung yang disediakan sebelum memulakan sedasi.
“Persediaan yang rapi seperti mengelak makanan berat sebelum janji temu dan memastikan anak tidak demam atau selsema adalah penting untuk keberkesanan rawatan ini,” katanya.
Aimi juga menegaskan bahawa ibu bapa atau penjaga yang sah diwajibkan hadir semasa rawatan untuk memberi kebenaran dan setelah mendapat kebenaran lisan dan bertulis, doktor gigi akan memastikan saiz pelitup hidung yang sesuai dengan kanak-kanak sebelum memulakan mesin sedasi dengan memilih kadar gas N2O yang sesuai dengan jenis rawatan.
“Selama tempoh rawatan, tahap keselesaan dan keselamatan kanak-kanak akan dipantau melalui beberapa alat termasuk ‘pulse oximeter’ dan ‘valve bag’ serta komunikasi berterusan antara doktor gigi dan kanak-kanak.
“Setelah rawatan selesai, kanak-kanak akan dipastikan kembali kepada tahap kesedaran normal sebelum dibenarkan pulang. Ibu bapa juga disarankan untuk membawa pulang anak hanya selepas mereka sedar sepenuhnya dan memberikan tindak balas yang normal.
“Proses ini biasanya hanya memakan masa beberapa minit selepas prosedur selesai,” terangnya lanjut.
Aimi turut berpesan kepada ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai sedasi inhalasi, sila hubungi Klinik Pergigian Usains, PPSG di talian 019-2722080 untuk maklumat lanjut.
“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan rawatan yang terbaik dan selamat untuk anak anda,” ujar beliau mengakhiri perbualan.
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 79