Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

SEPSIS ANTARA PENYAKIT BERISIKO TINGGI MEMBAWA MAUT

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Jun 2021 – Sepsis merupakan masalah kesihatan yang serius serta boleh memudaratkan dan membawa maut berpunca daripada jangkitan kuman pada mana-mana bahagian badan seseorang yang menyebabkan kecelaruan tindak balas dalam tubuh badan sehingga boleh mengakibatkan kegagalan satu atau lebih organ dalaman.

hh

Menurut Pakar Bius dan Rawatan Rapi, Jabatan Anestesiologi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Fadzlina Wan Muhd Shukeri, sepsis terjadi apabila sistem pertahanan badan atau sistem imun badan melawan sesuatu jangkitan dan dalam proses melawan jangkitan itu daripada merebak, ia telah mengakibatkan kecederaan kepada tisu dan organ badan manusia.

“Jangkitan yang dilawan sistem imun badan kita itu kebanyakannya berpunca daripada bakteria dan virus termasuk COVID-19 malah ada kalanya disebabkan oleh parasit dan fungi (kulat).

“Jangkitan yang biasa dikaitkan dengan sepsis antaranya jangkitan pada paru-paru, air kencing kotor dan anggota badan seperti kulit serta ada sesetengah kes disebabkan oleh selesema,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di Radio Kelantan FM.

Jelas Wan Fadzlina, sepsis yang paling kerap dijumpai adalah pesakit dengan jangkitan kuman pada paru-paru yang menyebabkan organ tersebut gagal menjalankan fungsinya membawa oksigen ke dalam badan.

“Pesakit sebegini biasanya memerlukan oksigen tambahan dan mungkin memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator).

“Semua bentuk jangkitan kuman berpotensi menyebabkan sepsis termasuklah sekecil-kecil luka sehingga kepada luka parah dan luka selepas pembedahan. Malah sepsis juga boleh bermula dari jangkitan selesema biasa,” ujarnya lanjut.

Tambah Wan Fadzlina, sepsis juga boleh disebabkan oleh jangkitan kuman pada organ dalaman seperti pada paru-paru (pneumonia), selaput otak (meningitis), saluran kencing dan nanah yang terkumpul di dalam perut.

“Sebilangan besar mangsa virus COVID-19 meninggal dunia akibat sepsis kerana jangkitan virus tersebut menyebabkan kegagalan organ dalaman pesakit terutamanya paru-paru.

“Semua orang boleh diserang sepsis, tetapi terdapat golongan tertentu yang berisiko tinggi untuk mendapat sepsis iaitu mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah seperti warga tua, kanak-kanak, ibu mengandung dan pesakit diabetes,” jelasnya.

Wan Fadzlina berkata, sepsis biasanya bermula dengan gejala kehadiran jangkitan bakteria pada organ yang terjejas.

“Contohnya, jika jangkitan kuman berlaku di bahagian atas sistem pernafasan, pesakit mungkin mengalami selesema dan sakit tekak. Manakala, sekiranya jangkitan kuman berlaku di paru-paru, pesakit mungkin mengalami batuk berkahak, sesak nafas atau sakit dada semasa menarik nafas dan sekiranya kuman menyerang salur darah, pesakit mungkin mengalami demam, menggigil, kelesuan melampau serta degupan jantung lebih kencang dari kebiasaan.

“Untuk merawat penyakit sepsis, pertama sekali doktor yang merawat perlu mengesan kehadiran sepsis secepat mungkin atau dengan menjalankan ujian tertentu termasuk ‘blood culture’. Rawatan umum yang perlu dilakukan adalah menstabilkan kembali bacaan vital pesakit dan rawatan khusus pula termasuk memberi antibiotik untuk membunuh kuman jika terdapat jangkitan bakteria,” katanya lagi.

Wan Fadzlina turut menjelaskan bahawa komplikasi yang paling serius apabila dijangkiti sepsis adalah kematian dan statistik terkini menunjukkan kadar kematian akibat sepsis dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah tinggi sekitar 50 peratus.

“Bagi penghidap sepsis yang masih hidup, biasanya mereka akan menghadapi masalah kesihatan seumur hidup dan ada juga yang terpaksa menanggung kecacatan kekal akibat daripada pemotongan anggota badan yang disebabkan jangkitan kuman.

“Bagi mengelak jangkitan sepsis ini, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menerapkan gaya hidup sihat serta sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan kesihatan tubuh badan,” jelasnya.

Teks: Muhamad Fadzli Fauzi (Pelajar Praktikal UiTM) / Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 1402