Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

TEKNOLOGI RADIASI NUKLEAR: REVOLUSI BANTU KESAN SLN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Januari 2025 - Kanser payudara merupakan penyebab utama dan pembunuh nombor satu wanita di Malaysia dan di dunia.

Statistik penghidap kanser payudara menunjukkan peningkatan saban tahun. Dalam tempoh lima (5) tahun, hampir separuh pesakit hadir mendapatkan rawatan ketika kanser payudara berada pada tahap tiga (3) dan empat (4).

IMG 20250115 WA0019

Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Norazlina Mat Nawi, HPUSM kini menyediakan rawatan pemetaan nodus limfa sentinel kanser payudara menggunakan peralatan yang lebih maju dan efisien serta berteknologi tinggi iaitu ‘Single Photon Emission Computed Tomography/ Computed Tomography’ (SPECT/CT) dan ‘Gamma Probe’.

“Nodus limfa sentinel atau ‘sentinel lymph node’ (SLN) ialah nodus limfa pertama yang menerima saliran daripada tumor. Sekiranya kanser merebak, nodus ini biasanya menjadi lokasi pertama sel kanser berkumpul sebelum tersebar ke bahagian badan yang lain.

“Pemetaan SLN menggunakan kamera SPECT/CT dan ‘gamma probe’ adalah langkah revolusi dalam diagnosis dan rawatan kanser payudara. Kaedah ini membuktikan peluang kejayaan terhadap rawatan adalah tinggi sekaligus memberi harapan baharu kepada pesakit.

“SPECT/CT adalah gabungan teknologi pengimejan fungsional (SPECT) dan struktur (CT)”, katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Norazlina, HPUSM merupakan satu-satunya pusat rujukan di Pantai Timur yang mempunyai kemudahan peralatan dalam bidang perubatan nuklear.

“Dalam pemetaan SLN, pesakit akan disuntik dengan bahan radioaktif Tc-99m- nanocolloid yang akan bergerak ke SLN serta menghasilkan pancaran radiasi.

“Kamera SPECT/CT kemudian digunakan untuk mengesan lokasi SLN dengan lebih tepat serta menghasilkan imej tiga (3) dimensi yang membantu pakar dalam memahami anatomi pesakit secara lebih terperinci.

“’Gamma probe’ pula digunakan semasa pembedahan bagi mengesan radiasi yang dipancarkan oleh SLN dengan lebih tepat melalui penghasilan bunyi yang kuat apabila menemui jumlah radiasi tinggi,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, teknologi ini membantu doktor mengesan ketepatan yang lebih tinggi hasil gabungan SPECT/CT dan ‘gamma probe’ sekaligus meminimumkan risiko keputusan negatif palsu.

“Ia juga dapat mengurangkan pembedahan yang tidak perlu dan hanya nodus yang berpotensi terjejas akan dikeluarkan selain membantu mengurangkan trauma kepada pesakit.

“Teknologi ini juga mempercepat tempoh pemulihan pesakit kerana prosedur yang kurang invasif serta membantu pesakit pulih dengan lebih cepat”, jelasnya.

Selain itu, rawatan menggunakan teknologi ini juga dapat mengurangkan komplikasi seperti pembengkakan atau limfedema yang sering berlaku jika terlalu banyak nodus limfa dikeluarkan.

Perkhidmatan rawatan ini ditawarkan sejak tahun 2019 di HPUSM melibatkan tiga (3) kepakaran atau jabatan iaitu Perubatan Nuklear, Pembedahan dan Patologi.

“Perubatan Nuklear terlibat dalam penyediaan bahan radioaktif (farmacist), penyuntingan bahan radioaktif kepada badan pesakit dan pengimejan oleh juruteknologi.

“Pembedahan pula akan dilakukan oleh pakar bedah bagi membuang limfa sentinel dan sampel akan dihantar ke Makmal Patologi.

“Makmal Patologi akan membuat pengesahan sama ada nodus limfa mempunyai kanser atau sebaliknya,” terangnya lagi.

Menurut Norazlina, rawatan seterusnya akan dilakukan bergantung kepada keputusan sentinel berkenaan.

“Sekiranya keputusan positif, pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membuang sentinel limfa di bawah ketiak.

“Sekiranya keputusan negatif, pesakit tidak perlu menjalani pembedahan selanjutnya,” katanya.

Norazlina turut menasihatkan golongan wanita untuk sentiasa melakukan pemeriksaan sendiri payudara dan berjumpa doktor atau ke klinik berdekatan dengan kadar segera sekiranya terdapat ketulan yang dicurigai.

“Pesakit juga boleh terus datang melakukan pemeriksaan di Klinik BestARi HPUSM.

“Kanser yang dikesan pada peringkat awal dapat mengurangkan risiko pembedahan yang tidak sepatutnya selain meningkatkan jangka hayat seseorang pesakit,” ulasnya.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi / Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom

  • Created on .
  • Hits: 131