Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

TRAUMA MANGSA BANJIR: BANTUAN AWAL PSIKOLOGI PENTING UNTUK KESIHATAN MENTAL

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Disember 2024 – Bencana banjir yang melanda negeri Kelantan khususnya di daerah Tumpat dan Pasir Mas telah meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan fizikal dan kesihatan mental mangsa yang berhadapan bencana ini.

IMG 20241216 WA0016

Pakar Perundingan Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Asrenee Ab Razak berkata, trauma akibat banjir boleh mengakibatkan pelbagai kesan psikologi yang memerlukan perhatian segera.

"Bagi setiap satu kecederaan fizikal akibat bencana terdapat lima (5) hingga enam (6) kecederaan psikologi yang akan dialami mangsa.

"Antara kesan utama termasuk gangguan tidur, kebimbangan melampau, 'flashback' kejadian banjir dan kemurungan," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.

Beliau turut menjelaskan bahawa mangsa juga cenderung mengalami perubahan tingkah laku seperti konflik interpersonal dan penyalahgunaan bahan terlarang.

"Berdasarkan kajian yang dilakukan, banjir besar yang melanda Kuala Krai pada tahun 2014 didapati memberi kesan psikologi signifikan kepada penduduk yang berhadapan bencana itu.

"Hasil kajian menunjukkan 38.3 peratus (%) golongan dewasa mengalami trauma psikologi manakala 41.29% warga emas menunjukkan gejala kemurungan dan 16.9% dalam kalangan remaja dikenal pasti mengalami tanda-tanda trauma signifikan.

"Petugas banjir juga tidak terkecuali mengalami kesan emosi dengan 12.5% daripada mereka menghadapi gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan 18.1% menunjukkan gejala kemurungan,” jelasnya lagi.

Tambah Asrenee, hasil dapatan ini menekankan kepentingan intervensi psikologi dan sokongan komuniti dalam membantu pemulihan mangsa bencana.

“Intervensi awal melalui bantuan psikologi atau 'Psychological First Aid' (PFA) sangat penting untuk mengelak masalah kesihatan mental seperti PTSD dan membantu mangsa bangkit semula dengan sokongan komuniti.

"Namun, terdapat pelbagai cabaran dalam memberikan bantuan psikologi kepada mangsa termasuk stigma masyarakat terhadap kesihatan mental, kesukaran logistik di kawasan terpencil serta keperluan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal," ujarnya.

Asrenee turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan pendedahan terhadap berita negatif dan tidak menularkannya tanpa rujukan daripada sumber yang sahih kerana ia boleh meningkatkan kebimbangan masyarakat.

"Jika trauma ini berterusan, mangsa banjir dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan profesional bagi memastikan kesejahteraan mental terjaga.

"Langkah ini diyakini dapat membantu mangsa mengatasi cabaran emosi dengan lebih baik kerana banjir bukan sekadar ujian fizikal tetapi juga cabaran mental.

"Bantuan dan sokongan bersepadu daripada komuniti, keluarga dan pihak berkuasa amat penting untuk memastikan mangsa banjir dapat pulih dan membina semula kehidupan mereka,” ulasnya lanjut.

Teks: Marlina Zahari/ Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom

  • Created on .
  • Hits: 311