KOTA BHARU, KELANTAN, 21 Julai 2019 - Penyakit kardiovaskular atau lebih dikenali sebagai penyakit jantung adalah salah satu penyebab utama kematian di seluruh dunia.
Menurut Pakar Klinikal Perubatan Nuklear, Jabatan Perubatan Nuklear, Onkologi dan Radioterapi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Norazlina Mat Nawi, berdasarkan statistik bermula 2007 hingga kini, jumlah kematian pesakit jantung meningkat lebih dari 50 peratus iaitu seramai 13,500 orang.
“Purata umur penghidap penyakit jantung di Malaysia adalah berumur 58 tahun berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand purata umur penghidap penyakit ini berumur 60 tahun ke atas.
“Tanda serangan penyakit jantung adalah berbeza bagi setiap individu, contohnya ada yang kebas tangan kiri hingga sebahagian tengkuk, sakit pada bahagian tengah dada, sesak nafas, pening kepala, berpeluh dingin, jantung berdebar, letih lesu, rasa pitam dan pengsan,” jelasnya dalam satu sesi temubual bersama radio tempatan, di sini.
Norazlina berkata, menyedari tanda-tanda dan gejala penyakit jantung dapat membantu mencegah keadaan menjadi lebih buruk sehingga dapat menghindari kegagalan jantung yang biasanya menyebabkan kematian.
“Bagi mengetahui seseorang itu menghidap penyakit jantung atau tidak, mereka perlu menjalani ujian perfusi jantung dan ini adalah salah satu peranan yang dilakukan di perubatan nuklear.
“Perubatan nuklear adalah satu cabang perubatan yang menggunakan radiasi untuk memperolehi maklumat berdasarkan imej mengenai anatomi manusia dan fungsi organ-organ tertentu pada semua peringkat umur,” jelasnya lagi.
Tambah Norazlina, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam bidang ini adalah pengendalian bahan radioaktif, pengendalian radiofarmaseutikal, pengendalian peralatan perubatan nuklear dan aspek keselamatan sinaran terhadap pekerja, pesakit dan orang awam.
Katanya lagi, ujian perfusi jantung pula merupakan satu ujian yang dijalankan untuk menilai peredaran dan pengaliran darah ke sel-sel jantung (bekalan oksigen) dengan tepat.
“Kelebihan ujian perfusi jantung ini adalah kesan radiasi menerusi suntikan bahan radioisotop sangat rendah berbanding ujian X-Ray atau CT Scan dan pesakit tidak perlu risau tentang kesan sampingan kerana dos yang diberikan sangat sedikit.
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Foto: Abdul Aziz Latif