KOTA BHARU, KELANTAN, 25 Ogos 2019 – Tulang belakang bengkok atau ‘Scoliosis’ merupakan penyakit yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan awal remaja tetapi jika tidak mendapat pengesanan di peringkat awal serta rawatan yang betul, ia akan memberi kesan lebih serius dan mendatangkan komplikasi yang teruk untuk jangka masa panjang serta menjadi rumit dalam perawatan.
Pakar Perubatan Ortopedik, Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azizul Akram Salim berkata, untuk mengetahui sama ada kawasan tulang belakang terdapat benjolan yang ketara atau tidak, ia bergantung pada tempat tulang tersebut bengkok.
“Tulang belakang bengkok ini akan mengganggu proses tumbesaran seseorang sekaligus tumbesarannya akan terbantut jika ia tidak dikesan awal melalui sinaran x-ray.
“Terdapat beberapa punca terjadinya tulang belakang bengkok dan salah satunya ialah ligamen lembut yang menyebabkan pembentukan tulang belakang menjadi tidak normal yang dikenali sebagai ‘Idiopathic Scoliosis’ dan ia akan dipecahkan lagi kepada peringkat-peringkat umur bagi proses rawatan,” katanya ketika ditemubual di Kelantan FM.
Tambah Azizul, untuk mengesan tulang belakang bengkok pada peringkat awal, mereka akan membuat pemeriksaan di sekolah-sekolah atau ‘School Screening Scoliosis’ menggunakan alatan khas bagi mengesan benjolan di bahagian belakang, ketinggian bahu pelajar dan keadaan punggung yang senget.
“Jika dapat dikesan selepas pemeriksaan di sekolah, pelajar tersebut akan dirujuk ke Hospital USM untuk rawatan lanjut.
“Hospital USM menggunakan rawatan ‘Brace’ iaitu sokongan tulang belakang di mana rawatan ini memerlukan darjah kebengkokan kurang dari 40 hingga 45 darjah tetapi jika darjah kebengkokan di bawah 20 darjah, pesakit akan dikategorikan di bawah pemerhatian bagi memastikan jenis kebengkokan tersebut,” katanya lagi.
Tambah Azizul, rawatan ‘Brace’ ini memerlukan pesakit memakainya selama 23 jam sehari dan membuatkan pemakainya berasa tidak selesa kerana ia ketat serta menghadkan pergerakan pesakit bagi memastikan hasil rawatan yang positif.
Di akhir temubual, Azizul turut menasihatkan agar ibu bapa lebih kerap mengambil tahu akan keadaan fizikal anak-anak mereka dan jika terdapat keraguan, datang ke Hospital USM untuk pemeriksaan lanjut.
Teks / Foto : Muhd Zulkifli Zakaria