KOTA BHARU, KELANTAN, 6 April 2017 - Diabetes mellitus atau dikenali sebagai penyakit kencing manis adalah penyakit yang disebabkan oleh tingginya kadar gula dalam darah akibat gangguan sekresi insulin.
Penyakit Debetis melitus merupakan salah satu penyakit yang kompleks dengan pelbagai komplikasi organ dan salah satunya komplikasi kepada organ mata.
Menurut Pensyarah Perubatan Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr, Julieana Muhammad , komplikasi utama dan penyebab kebutaan kepada pesakit diabetes mellitus adalah retinopati diabetes atau kerosakan saraf mata oleh penyakit ini.
“Antara faktor risiko utama yang mengakibatkan retinopati kepada pesakit adalah tempoh atau jangka masa seseorang itu menghidap diabetis melitus yang tidak terkawal sehingga meninggalkan kesan ke atas saluran darah dalam retina atau saraf mata dimana saluran darah menjadi lemah, mudah bocor serta menyebabkan titik-titik pendarahan dalam saraf mata,” katanya dalam temubual bersama stesen radio tempatan di sini.
Tambah Julieana, saluran darah dalam retina tersumbat dan menyebabkan kekurangan oksigen ke retina saraf mata yang boleh menyebabkan pertumbuhan salur darah baru diatas permukaan retina.
“Saluran darah baru yang tumbuh ini kurang matang, halus, senang pecah dan mudah berdarah sehingga menyebabkan pendarahan serta parut terhasil di dalam lapisan saraf mata dan menyebabkan urat saraf lekang dari lapisan dalam mata yang boleh menyebabkan kebutaan kekal.
“Pesakit diabetis mellitus boleh membuat pengesanan awal retinopati di klinik-klinik kesihatan atau klinik rawatan keluarga yang menyediakan kamera fundus, pengesanan awal retinopati melalui pemeriksaan awal mata boleh mencegah kebutaan,” ujarnya lagi.
Julieana berkata, rawatan untuk seseorang pesakit itu bergantung kepada tahap retinopati yang dialami.
“Antara rawatan utama adalah rawatan laser pada saraf mata seperti pengubahsuaian faktor risiko bagi mengawal tahap gula dalam darah supaya berada ditahap yang optima bagi membantu mengurangkan keterukan retinopati.
“Mengikut satu kajian yang dilakukan pada tahun 2014, komplikasi retinopati diabetes atau kerosakan saraf mata akibat diabetis merupakan penyebab kedua kebutaan di Malaysia,” katanya.
Julieana turut menasihati semua pesakit yang didiagnos sebagai pesakit diabetes mellitus, mereka hendaklah membuat pemeriksaan mata sekurang-kurangnya setahun sekali dan pesakit yang mempunyai retinopati akibat diabetes hendaklah membuat pemeriksaan berkala yang telah ditetapkan oleh pegawai perubatan untuk memantau keterukan retinopati yang dialaminya itu sebagai langkah pengesanan awal.
Teks/Foto: Anawiah Abdul Aziz