KOTA BHARU, KELANTAN, 23 MAC 2017 – Penyakit Talasemia merupakan salah satu penyakit yang tidak asing di Malaysia, namun kebanyakan kita masih tidak tahu dan faham mengenai penyakit ini.
Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Hematologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Rosnah Bahar, Talasemia adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan masalah genetik yang mana penyakit mempunyai masalah untuk membentuk sel darah merah yang normal disebabkan masalah penghasilan hemoglobin.
“Hemoglobin adalah sejenis protein yang sangat penting di dalam darah kita untuk membawa oksigen ke tisu-tisu dan penghasilan hemoglobin yang tidak normal ini menjadikan sel darah merah ini tidak stabil, mudah pecah dan tidak dapat berfungsi dengan baik”, katanya ketika menjadi tetamu di sebuah rancangan radio tempatan, di sini.
Rosnah berkata, penyakit ini merupakan penyakit yang diwarisi oleh keluarga dari turun temurun iaitu sekiranya ibu atau bapa kita mempunyainya, kita juga mempunyai kemungkinan untuk menghadapinya yang terdiri dari dua golongan iaitu penghidap penyakit talasemia dan pembawa ‘gen’ talasemia.
“Bagi golongan penghidap talasemia, antara tanda-tanda pesakit dalam golongan ini ialah mengalami masalah tumbesaran yang sangat ketara, mudah letih, kebengkakan limpa, pembentukan tulang tidak sempurna seperti tulang rahang yang terbonjol keluar manakala bagi pembawa ‘gen’ talasemia pula, tiada sebarang tanda-tanda ketara bagi golongan ini”, katanya lagi.
Tambah Rosnah, mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2012, dianggarkan satu dalam 20 rakyat Malaysia adalah pembawa ‘gen’ talasemia ini dan 120 hingga 350 bayi talasemia major dilahirkan setiap tahun.
“Pelbagai kempen kesihatan sedang giat dijalankan bagi meningkatkan tahap kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai penyakit ini.
“Golongan remaja digalakkan menjalani ujian talasemia kerana ia perlu dijalankan sekali seumur hidup manakala bagi ahli keluarga pesakit talasemia yang terdiri dari ibubapa, adik beradik dan juga saudara mara terdekat, anda digalakkan untuk mendapatkan ujian saringan di hospital atau klinik kesihatan secara percuma”, ujarnya.
Teks / Foto : Shazleen Hashim