USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 April 2021 – “Penting untuk kita mengetahui tahap trauma mata sama ada biasa atau teruk kerana pada tahap biasa, trauma mata mampu dirawat untuk mengelak ia menjadi lebih serius atau kekal,” demikian kata Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Khairy Shamel Sonny Teo.
Menurutnya, trauma mata biasanya terjadi apabila berlaku kecederaan secara fizikal pada bola dan kelopak mata serta kecederaan yang teruk boleh mengakibatkan kecederaan kekal.
"Terdapat beberapa jenis trauma mata yang biasa berlaku antaranya trauma akibat terkena objek tumpul seperti bola tenis, bulu tangkis atau tumbukan.
"Selain itu, terdapat juga trauma benda tajam iaitu tertusuk sesuatu yang tajam berkelajuan tinggi seperti tusukan hujung pensel, pen atau peluru. Seterusnya, trauma bahan kimia iaitu curahan asid, sabun kegunaan industri, trauma sinaran bahan radioaktif dan matahari," ujarnya ketika ditemuramah dalam Rancangan Sembang Sihat yang diadakan secara langsung bersama Radio Kelantan FM.
Tambah Khairy, trauma mata biasa akan mengakibatkan mata menjadi kabur, senak, pendarahan dan mata berair.
"Sekiranya seseorang itu mengalami tanda-tanda sebegini, seelok-eloknya segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan awal.
"Langkah awal perlu diambil sekiranya berlaku trauma mata jika terkena bahan kimia, asid, sabun, air bateri dan sebagainya iaitu perlu segera membasuh muka dan mencuci mata dengan betul supaya bahan menghakis dapat dikurangkan walaupun kesan rasa panas akan tetap terasa namun perlu terus mencuci sehingga pertolongan tiba," jelasnya lagi.
Menurut Khairy, sekiranya terkena benda tajam seperti paku dan sebagainya, elakkan daripada terus mencabut paku tersebut kerana ia akan menyebabkan kecederaan lebih teruk lagi.
Khairy turut menitipkan kata-kata nasihat iaitu trauma mata boleh dielak jika kita sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan.
"Contohnya, memakai pelindung mata sekiranya melakukan aktiviti seperti memotong rumput, elak berada di kawasan berbahaya, jangan pergi melihat orang sedang memotong rumput, elak beli barang mainan yang berpotensi menyebabkan kecederaan seperti pistol mainan berpeluru keras dan sebagainya.
"Sayangi mata anda kerana ia adalah organ yang amat berharga dan sensitif dan sekiranya rosak, ia tidak boleh diganti kerana tiada lagi kaedah untuk menggantikan mata yang telah rosak," katanya.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob