KOTA BHARU, KELANTAN, 2 Julai 2017 - Peningkatan kes-kes jenayah seperti rogol, sumbang mahram, penderaan kanak-kanak dari segi seksual dan emosi, liwat , gangguan seksual serta keganasan rumahtangga adalah sangat membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Kebanyakan mangsa menghadapi tekanan emosi berpanjangan kerana sukar melupakan peristiwa yang dialami.
Pegawai Perubatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Shukri Mat Saad berkata, golongan ini bukan sahaja memerlukan bantuan untuk memulihkan kecederaan yang dialami tetapi juga sokongan emosi.
“Pusat Krisis Bersepadu atau ‘One Stop Crisis Centre’ (OSCC) adalah pusat perkhidmatan bersepadu di antara pelbagai agensi yang menyelaraskan tugas bagi menyelesaikan kes sebegini.
“OSCC terletak di bawah Jabatan Kecemasan setiap hospital kerajaan di mana terdapat kakitangan terlatih ditugaskan untuk merawat dan memberi penjagaan sewajarnya kepada mangsa yang datang agar tidak mengalami trauma yang serius”, ujarnya ketika menjadi tetamu rancangan ‘Doktor Di Radio’ di sini.
Mohd Shukri berkata, OSCC merupakan tempat yang memberi rawatan dan pertolongan yang diperlukan oleh pengadu dan dalam erti kata lain pusat ini memberikan pengurusan rawatan setempat.
“Pegawai daripada agensi berkaitan seperti polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta khidmat peguam akan dihubungi oleh OSCC jika diperlukan.
“Mangsa yang datang bukan sahaja diberikan rawatan fizikal tetapi perlindungan sewajarnya termasuk menyediakan tempat tinggal serta diasingkan daripada pesakit-pesakit biasa supaya mereka tidak merasa malu atau takut,” ujarnya lagi.
Menurut Mohd Shukri, masyarakat hendaklah membuka mata dan tidak takut untuk melaporkan kes-kes seperti itu kepada pihak yang sepatutnya.
“Ahli keluarga perlulah memberi nasihat kepada mangsa supaya mendapatkan rawatan dan pembelaan yang betul dan sewajarnya serta membuang stigma pandangan serong kepada mangsa kerana kejadian tidak diingini ini boleh menimpa sesiapa sahaja,” tegas beliau.
Teks / Foto : Mohd Hairol Rasli